Ketua Olimpik Tokyo 2020, Toshiro Muto tidak menolak kemungkinan untuk membincangkan semula mengenai pembatalan temasya itu pada saat-saat akhir.

Ia susulan kes positif COVID-19 yang dilaporkan menjelang pembukaan temasya itu Jumaat ini terus meningkat.

“Kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku dengan jumlah kes Coronavirus.

"Oleh itu kita akan teruskan buat perbincangan jika berlakunya peningkatan jumlah kes.

“Berdasarkan situasi terkini, kita sudah bersetuju untuk mengadakan perbincangan secara lima belah pihak.

"Kita akan berfikir apa yang perlu dilakukan jika kes terus meningkat," katanya menerusi CNN.

Kenyataan Muto itu dibuat selepas Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach memaklumkan dia tidak boleh tidur memikirkan keselamatan temasya berkenaan.

Terdahulu media melaporkan terdapat 71 kes Covid-19 dikesan membabitkan temasya sukan berprestij itu.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada kes jangkitan Covid-19 melibatkan atlet dan kontinjen Malaysia yang berada di Perkampungan Olimpik di Tokyo, Jepun,

Sekadar info, kontinjen Malaysia membabitkan seramai 40 orang termasuk 18 atlet daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik dan memanah berlepas ke Tokyo pada Sabtu lepas bagi mengharungi cabaran temasya sukan terbesar dunia itu yang bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Gambar: Astro Awani