Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak wujudnya kluster ibadah berkaitan Aidiladha.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu berlakunya penularan koronavirus (Covid-19) disebabkan ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP sepanjang Aidiladha.

“Ia berisiko mewujudkan sebarang kluster berkaitan ibadah seperti kluster solat atau kluster ibadah korban.

"Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang telah dimuktamadkan dan peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian,” katanya.

Tambahnya, isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam.

“Oleh kerana itu jaga perkara ini dan patuhi SOP.

“Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kementerian akan mengetatkan semula SOP di masjid berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini, beliau berkata, perkara itu akan dibuat mengikut penilaian semasa.

Sumber : Bernama