Jemaah Menteri telah bersetuju melantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Khairy akan mengetuai satu Pasukan Petugas Khas yang menguruskan pelaksanaan program itu khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak Covid-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan.

“Vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19.

“Kerajaan telah berjaya menempah vaksin Covid-19 dengan penghantaran pertama bekalan vaksin ini dijadualkan tiba di negara kita pada bulan ini.

“Penghantaran pertama vaksin ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus.

“Suka saya memaklumkan bahawa kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.

“Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai penjelasan terkini mengenai pelaksanaa Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan Daruart dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan media sosial pada petang Khamis.

Sumber: MalaysiaGazette