Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

KJ Kata Lagi 0.9% Nak Boleh Rentas Negeri! Ramai Countdown Dah Ready Packing Beg Balik Kampung Ker Tu?

Amri Hassan
08/10/2021 04:31 MYT
Sebanyak 89.1 peratus populasi dewasa di negara ini, sudah memperoleh vaksinasi lengkap setakat tengah malam tadi.

Data yang dipaparkan laman sesawang COVIDNOW juga menunjukkan setakat tengah malam tadi sejumlah 45,204,479 dos sudah diberikan kepada penduduk di Malaysia.

Menerusi ciapan di Twitter Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai agar patuh kepada SOP yang sedia ada andai kata sempadan negeri dibuka tidak lama lagi.

"0.9% sahaja lagi sehingga sempadan negeri dibuka. SOP sedia ada kekal di restoran, rumah ibadat, tempat awam, dan lain-lain.

"Buat ujian kendiri sebelum balik kampung atau melancong. Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (ulang, hafal & hadam). Sama-sama ke arah #ReopeningSafely," tulis beliau.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Semalam, sejumlah 86,639 dos vaksin disuntik dengan 16,870 sebagai dos pertama, manakala 69,769 dos vaksinasi lengkap.

Pada masa sama, sebanyak 4.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap setakat semalam, manakala 68.5 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Ia menyumbang kepada 64.3 peratus atau 21,004,275 populasi negara yang sudah mendapatkan pelalian lengkap terhadap COVID-19.

Dua negeri masih merekodkan peratusan vaksinasi lengkap bawah 50 peratus iaitu Kelantan dengan 47.6 peratus dan Sabah dengan peratusan terendah iaitu 45.5 peratus setakat semalam.

Negeri lain yang menunjukkan vaksinasi lengkap bawah 60 peratus adalah Perak dengan 58.1 peratus; Kedah (55.9 peratus); Pahang (55.8 peratus); dan Terengganu (55.7 peratus).

Lembah Klang mencatatkan peratusan vaksinasi lengkap tertinggi iaitu sebanyak 82 peratus, diikuti Negeri Sembilan dengan 71.2 peratus; Labuan (70 peratus); Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing dengan 67.7 peratus; Perlis (66.2 peratus); Melaka (64.9 peratus) dan Johor (61.8 peratus).

Setakat semalam juga, seramai 8,347,752 atau 25.5 peratus daripada populasi negara yang masih belum mendapatkan pelalian terhadap COVID-19.

Meninjau ruangan komen di Twitter, rata-rata netizen sudah teruja dan bersiap-siaga untuk melakukan perjalanan merentas negeri terutama pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Kami harap kotakan janji, kami dah tunggu 2 tahun. Ramai yang berduka akibat perpisahan yang panjang dengan orang tersayang," ciap @Belinda_Lim yang turut mengharapkan sempadan negara dibuka.

"Ia seperti countdown. Ada yang happy, ada yang cuak sikit. Tapi kami semua sudah bersedia. Terima kasih KJ," tambah @undercoverbun.

"Saya sanggup beli test kit sebelum ke kampung nanti. Ya Allah tak sabar nak jumpa family yang hampir setahun tak jumpa," kata @MohdSuhelll.

Sumber: Twitter, BH Online

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

#Viral #Netizen #Twitter #Khairy Jamaluddin #KJ #Rentas Negeri #Menteri Kesihatan #Vaksinasi #Countdown
;