Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Veveonah bagi pihak kerajaan, selepas kontroversi melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah itu baru-baru ini.

Menerusi ciapan Khairy Jamaluddin atau KJ di laman sosial Twitternya, pertemuan di antara beliau dan Veveonah berlangsung di UMS bersama ibunya.

“Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan. Saya juga telah cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan @YayasanInovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” ciap beliau.

Nama Veveonah Mosibin baru-baru ini kembali menjadi sebutan apabila ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri menulis posting di Facebook, seolah-olah menyokong kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin terhadap anak jati Pitas itu.

Bagaimanapun Zahidi telah memohon maaf kepada Veveonah berhubung kenyataannya selepas menerima berita kurang tepat mengenai pelajar tersebut.

Sementara Abdul Rahim pula memadam posting di Facebooknya selepas menerima kecaman orang serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Masidi Manjun juga turut mengesahkan Veveonah Mosibin menduduki peperiksaan akhir semester pada 9 hingga 12 Jun lalu.