Berita
KKM Bakal Laksana Protokol Baharu, Pesakit COVID-19 Dibenarkan Keluar Hospital Selepas 14 Hari Terima Rawatan
Pesakit COVID-19 yang telah mendapat rawatan melebihi 14 hari di hospital akan dibenarkan pulang walaupun ujian saringan masih menunjukkan keputusan positif.
Memetik laporan Harian Metro, protokol itu akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut dapatan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kajian dari Taiwan dan Korea Selatan yang mendapati kebolehjangkitan wabak itu hampir sifar selepas 14 hari pesakit menerima rawatan.
"Laporan terkini WHO menyebut bahawa pesakit boleh keluar dari hospital sekiranya sudah menerima rawatan melebihi 14 hari.
"Apa yang penting sekarang ini mengikut WHO, mungkin ujian positif itu dikesan dalam ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) pada hari ke-13 yang masih positif, iaitu peluruhan virus (virus shedding), ia adalah positif lemah yang tidak menjangkiti atau kebolehjangkitan kurang atau hampir sifar.
"Persoalannya adakah mereka ini masih boleh menjangkiti? Kebolehanjangkitan itu masih ada tetapi mengikut laporan WHO, kalau mereka sudah melepasi tempoh 14 hari, kebolehjangkitan adalah sifar," katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 semalam di Putrajaya semalam.
Sebelum ini, protokol KKM telah menetapkan pesakit hanya boleh pulang selepas ujian pada hari ke-13 dan mendapati keputusan negatif dalam tempoh 24 jam selepas itu.
"Selepas itu kita ubah, kita perlukan hanya satu keputusan negatif cukup untuk discaj pesakit.
"Tetapi semalam maklumat yang kita terima dari WHO dan kajian dari negara lain menunjukkan bahawa kebolehjangkitan sudah kurang selepas tempoh 14 hari," tambahnya.
Apa yang penting, pastikan anda sentiasa mengamalkan semua langkah pencegahan COVID-19 seperti penjarakkan sosial dan sebagainya.
Kekal selamat, ingat, kita belum menang!
Sumber : Harian Metro
Must-Watch Video