KKM Larang Jualan 'Gummy' Di Semua Platform, Tidak Patuh Pelabelan
Susulan insiden tragis kanak-kanak berusia 10 tahun yang tercekik dan meninggal dunia akibat gula-gula berbentuk mata,Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan larangan penjualan semua produk gula-gula ‘gummy’ kenyal di pasaran domestik dan platform atas talian.
KKM memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pengedaran produk ini.
Dalam masa yang sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak-anak mereka.
KKM turut menggesa ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak mengunyah makanan dengan sempurna sebelum menelan bagi mengelakkan risiko tercekik.
"Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
"Risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan," kata kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth kritikal dan dirawat di PICU Hospital Pulau Pinang selepas tercekik gula-gula jenis gummy yang dibelinya di luar kawasan sekolah.
Mohammad Fahmi Hafiz dipercayai membeli dua biji gula-gula itu sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.