UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
BERITA

KKM Larang Jualan 'Gummy' Di Semua Platform, Tidak Patuh Pelabelan

Asyraf Roslan 22/02/2025 | 02:55 MYT

Susulan insiden tragis kanak-kanak berusia 10 tahun yang tercekik dan meninggal dunia akibat gula-gula berbentuk mata,Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan larangan penjualan semua produk gula-gula ‘gummy’ kenyal di pasaran domestik dan platform atas talian.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, KKM menegaskan bahawa produk tersebut tidak memenuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
Produk konfeksi jeli terkawal yang mempunyai saiz atau bentuk berdiameter kurang daripada 45 milimeter sepatutnya dilabel dengan amaran risiko tercekik serta tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah tiga tahun.

KKM memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pengedaran produk ini.

Langkah penguatkuasaan termasuk pemantauan, rampasan produk serta larangan penuh penjualan akan dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak-anak mereka.

KKM turut menggesa ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak mengunyah makanan dengan sempurna sebelum menelan bagi mengelakkan risiko tercekik.

"Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

"Risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan," kata kenyataan itu.

Sebarang aduan atau kemusykilan mengenai keselamatan makanan boleh dilaporkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM atau melalui laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Terdahulu, media melaporkan seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth kritikal dan dirawat di PICU Hospital Pulau Pinang selepas tercekik gula-gula jenis gummy yang dibelinya di luar kawasan sekolah.

Mohammad Fahmi Hafiz dipercayai membeli dua biji gula-gula itu sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.

#KKM #Gula-Gula #Gummy #Kementerian Kesihatan Malaysia