Isu seorang peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000 masih menjadi topik perbualan utama di negara ini.

Terbaru, Kementerian Kesihatan (KKM) dikatakan bakal membuat penilaian semula terhadap kes berkenaan.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.

"KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera.

“Untuk itu, KKM akan membuat penilaian semula bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukannya menghukum semata-mata.

Jelasnya, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.

Sekadar info, peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga di hadapan rumahnya pada kira-kira jam 11 malam.

Susulan itu daripada itu, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka memandangkan pendapatan diperoleh peniaga burger itu tidak seberapa.

BACA: Peniaga Burger Dikompaun RM50,000 Langgar PKP - "Berniaga Depan Tangga Rumah, Lepas Bayar Bil Bulan-Bulan Je"

Sumber : BERNAMA