Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal dilaksanakan di Klang, Selangor, ramai yang mula keliru dengan status penempatan kawasan masing-masing.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan persempadanan, terutamanya bagi yang duduk di sekitar kawasan Shah Alam.

Menerusi tinjaun Gempak di Twitter, ramai yang tertanya-tanya, sama ada mereka ini tergolong sebagai orang Klang atau pun tidak.

"Klang, Shah Alam merupakan tempat tinggal paling mengelirukan, adakah anda di Klang atau anda di Shah Alam," tulis pengguna Twitter @halalpeg yang menerima lebih 2,000 ulang kicau.


Umum mula bimbang dengan status tempat tinggal mereka memandangkan esok, 9 Oktober akan bermulalah pelaksanaan PKPB di Klang yang diisytiharkan sebagai zon merah gara-gara peningkatan angka penularan Covid-19.

"Duduk sempadan Klang, Banting pun keliru juga, hahaha," komen @najwabkr.




Rileks okay! Sebab parameter bagi pelaksanaan kawasan di Klang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor hari ini.

Begitupun, ini antara fakta mengenai daerah Klang yang anda perlu tahu:


#1 Klang terbahagi kepada 2 Mukim

Mengikut portal rasmi Pejabat Daerah/Tanah Klang, Klang meliputi dua mukim iaitu Klang dan Kapar.

Mukim Kapar meliputi kawasan seluas 22,196 hektar, manakala Mukim Klang pula jauh lebih besar jajahannya dengan keluasan 40,482 hektar.



#2 Daerah Sempadan

Terdapat tiga daerah yang menjadi batas persempadanan kepada daerah Klang, iaitu Daerah Petaling, Daerah Kuala Selangor dan Daerah Kuala Langat.


#3 Mempunyai 37 buah kampung

Daerah Klang mempunyai 37 buah kampung yang dibahagikan kepada tiga pecahan iaitu Kampung Tradisi (33 buah), Kampung Baru (1 buah) dan Kampung Bagan (3 Buah).


#4 Memiliki banyak pulau

Uniknya, daerah Klang mempunyai sebanyak 11 buah pulau. Dua buah pulau yang sering menjadi lokasi tumpuan pelancong ialah Pulau Ketam dan Pulau Indah.

Tapi, buat masa sekarang, korang tangguhlah dulu niat kalau nak pergi bercuti ke pulau-pulau menarik di Klang okay.




#5 Jumlah penduduk

Sehingga kini, jumlah penduduk daerah Klang direkodkan seramai 1,008,600 orang.


#6 Parlimen dan DUN

Terdapat 4 parlimen berada di kawasan Klang iaitu Shah Alam (P.108), Kapar (P.109), Klang (P.110) dan Kota Raja (P.111).

Sementara itu terdapat 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat di daerah Klang iaitu, Kota Anggerik (N.40), Batu Tiga (N.41), Meru (N.42), Sementa (N.43), Selat Kelang (N.44), Bandar Baru Klang (N.45), Pelabuhan Klang (N.46), Pandamaran (N.47), Sentosa (N.48), Sungai Kandis (N.49), Kota Kemuning (N.50).




Apa-apapun, buat orang di Klang yang perlu jalani PKPB, bersabar okay! Jom kita sama-sama putuskan rantaian Covid-19.

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!