Jumlah jangkitan di kluster pusat beli-belah 1 Utama meningkat kepada 105 kes berbanding 63 kes yang direkodkan semalam.

Peningkatan Kes Kluster Utama yang dilaporkan semalam melibatkan 79 orang pengawal keselamatan, 18 orang tukang cuci dan 8 orang penyewa.

Semua yang dijangkiti dirawat di hosital dan kontak kepada pekerja yang positif perlu dikuarantin selama 14 hari dan menjalani ujian saringan susulan sebelum diberi pelepasan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling (JPBD) mengambil keputusan agar pihak pengurusan kompleks terus melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja.

Namun, kompleks beli-belah 1 Utama menafikan kenyataan JPBD bahawa terdapat 63 kes positif COVID-19 adalah dari premis itu.

Dalam satu kenyataan media yang disiarkan pagi tadi, hasil ujian swab yang dilakukan ke atas 6,000 kakitangan kompleks beli-belah dan penyewa pada 11 hingga 12 Oktober lalu mendapati hanya 21 kes positif COVID-19 dilaporkan.

"Daripada 6,000, semalam kami menyimpulkan bahawa keputusan ujian dan berjaya mengenal pasti 20 kakitangan penyewa dan seorang kakitangan pengurusan kompleks beli-belah positif COVID-19,” jelas pihak pengurusan menerusi satu kenyataan.

1 Utama juga menyatakan bahawa 44 (jumlah semalam) kes COVID-19 yang dinyatakan dalam laporan JPBD adalah bukan dari kompleks beli-belah itu.

“Mereka sebenarnya adalah pengawal keselamatan kontrak dari luar pihak penyedia perkhidmatan di mana jangkitan COVID-19 itu adalah melalui asrama dan bukan di dalam premis kami," tambahnya.

Dalam perkembangan berasingan, seorang pekerja pelatih di Tesco Extra Mutiara Damansara telah disahkan positif COVID-19.

Menerusi pengumuman yang disiarkan di laman Facebook mereka malam tadi, Tesco akan membersih dan membasmi kuman di pasar raya besar itu semalaman.

Pasar raya besar itu telah dibuka semula pada hari ini.

Selain itu, satu kluster baru iaitu Kencana membabitkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Johor telah dikenalpasti.

Kluster Kencana telah dikesan di Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak di Selangor, Cheras di Kuala Lumpur serta Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian di Johor.