Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Kolam Renang Dan Aktiviti Sukan Air Sudah Boleh Beroperasi Bermula 25 Jun Ini

Azwa Rahman 19/06/2020 | 10:45 MYT
Kerajaan telah memberi kebenaran aktiviti sukan air dalam kolam renang untuk latihan tanpa sentuhan fizikal berkuat kuasa 25 Jun ini.
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri juga bersetuju untuk membenarkan operasi kolam renang di tempat terkawal untuk tujuan rekreasi.
Pembukaan ini termasuk kolam renang persendirian di kediaman, komuniti berpagar serta kolam renang awam di hotel dan kelab rekreasi.
Bagaimanapun, katanya kebenaran tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk menyediakan petugas untuk memastikan jumlah pengguna di kolam renang adalah terkawal.
“Aktiviti latihan renang (termasuk terjun dan menyelam) dibenarkan di kolam renang mengikut sesi ditetapkan dan dihadkan bilangan orang pada satu-satu sesi mengikut kapasiti kolam renang.
"Ia termasuk untuk atlet kebangsaan, negeri dan perenang kelab dan akademi renang dalam program-program latihan tertentu atau perenang dalam program-program latihan berperingkat (seperti program learn to swim),” katanya dalam sidang media harian.
Jelas beliau lagi, operator kolam renang, kelab dan akademi renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di laman web notification.miti.gov.my.
Langkah tersebut bertujuan pematuhan SOP dan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Berikut adalah antara SOP membabitkan aktiviti di kolam renang:
1. Penjarakan sosial tiga hingga lima meter semasa aktiviti latihan di dalam kolam renang.
2. Meninggalkan premis atau tempat latihan secepat mungkin selepas aktiviti latihan.
3. Aktiviti renang dilakukan di dalam kolam yang standard untuk latihan dan pertandingan.
4. Pastikan pengguna membersihkan diri terlebih dahulu sebelum menggunakan kolam.
Sumber: Astro Awani
#PKPP #Kolam renang #Sukan air
;