Hiburan
Komen Isu Bayaran RM10,000, Chef Wan Kata Sugu Pavithra Patut Disanjungi
Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan memberi komen tentang isu YouTuber masakan popular, Sugu Pavithra yang meletakkan harga RM10,000 kepada pengacara Anim Ezati Rizki untuk program masakan selama satu jam.
Kata Chef Wan, sekiranya Sugu Pavithra membuat keputusan untuk meletakkan harga tersebut bagi perkhidmatannya itu adalah rezeki.
"Mungkin itu rezeki mereka. Tak apalah masing-masing punya bahagian.
"Kalau merasakan bahawa harga yang ditetapkan terlalu tinggi dan dia merupakan tukang masak yang sedang melonjak naik, kedua-dua pihak boleh berunding tentang harga tersebut agar adil," katanya ketika dihubungi Gempak.
Tambah Chef Wan, dia akui mengenali Sugu Pavithra dan menonton video masakan yang dimuat naik di laman Youtube.
"Saya ada menonton video pasangan ini. Mereka mendapat tempat di hati ramai orang disebabkan kepetahan dia berbahasa Melayu dan cara masakan dia yang bersahaja.
"Dia juga berani dan sangat bangga untuk menonjolkan resepi serta bakat yang ada.
"Jadi, saya rasa mereka patut disanjungi," katanya lagi.
Terdahulu, Anim mendakwa terkejut apabila diminta bayaran sehingga RM10,000 untuk sebuah program masakan.
Perkara itu diluahkannya menerusi satu entri di Instagram Story miliknya yang menyifatkan bayaran itu setanding dengan bayaran cef selebriti, Chef Wan.
Namun menurut Sugu, itu bukan harga yang sebenar kerana sebolehnya mereka tidak mahu terlibat dengan sebarang program rancangan masakan.
Justeru, pemilik nama Anim Ezati Rizki Mohd Khalid tampil memberi penjelasan dan menyatakan dia berhak untuk bersuara tentang kadar bayaran yang ditetapkan.
Sebelum ini, kisah pasangan suami isteri keturunan India ini menerima perhatian rakyat Malaysia selepas video masakannya yang ringkas di YouTube menjadi viral.
Bahkan, Sugu Pavithra juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehingga kini Sugu Pavithra mempunyai lebih 600,000 subscribers di YouTube.
Bahkan, pasangan itu juga dilaporkan sudah berpindah ke rumah yang lebih selesa selepas suaminya membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai buruh ladang bagi memberikan fokus kepada penghasilan video.
Must-Watch Video