“Komen Itu Ganggu Mental” - Emosi Niezam Zaidi Terganggu, Mahu Lupakan Detik Hitam & Cari Ketenangan
Mya Amri
11/08/2022 02:45 MYT
11/08/2022 02:45 MYT
“Kalau saya bukan Islam saya dah gila atau pun bunuh diri, minta maaf saya cakap…” itulah ayat pertama yang diberikan pelakon Niezam Zaidi sebaik ditanya sama ada pernah berdepan dengan masalah kesihatan mental.
Kata Nizam emosinya teruk terganggu selepas namanya terpalit isu dadah sekitar Oktober tahun lalu.
“Banyak yang terjadi dalam hidup saya. Alhamdulillah saya syukur pada Allah sebab ia kenangan pahit pada manusia, pada orang lain tapi manis bagi saya.
“Masalah mental ini betul… Tolonglah… Kenapa saya cakap betul, sebab kita tidak tahu orang itu mungkin post gambar nampak macam okay, tapi orang tu ada notifikasi dia akan tengok berapa orang kecam dia.
“Walaupun dengan membaca mungkin tidak setajam pisau, tidak setajam mulut tapi daripada komen-komen yang tak membina itu boleh menganggu mental.
“Saya terpaksa hidup dengan situasi itu dan antara sebab mengapa saya berhijrah balik ke kampung untuk mencari ketenangan,” katanya ketika ditemui Gempak.
Niezam ditemui selepas majlis pratonton telefilem terbaharu lakonannya berjudul Kan Cheong bertempat di GSC, The Starling, Petaling Jaya pada Selasa.
Mahu melupakan titik hitam dalam hidupnya, Nizam berkata sepanjang berdepan dengan masalah tersebut keluargalah yang banyak memberikan sokongan dan juga kata-kata semangat buat dirinya.
“Ketenangan yang saya cari, agama, keluarga… Sebab apa-apa yang berlaku pun tetap keluarga yang pertama.
“Kenapa saya lebih mahu balik kampung sebab mak saya dah tua, sakit tiga serangkai dan papa juga sudah tua.
“Kita tak tahu pun boleh hidup sampai bila… Selagi boleh nak berjasa, berjasalah.
“Saya ingat lagi masa di Kuala Kangsar, papa saya yang dah berusia 60 tahun datang ke sana untuk bantu selesaikan kes saya.
“Banyak kejadian yang mematangkan hidup saya, banyak pengajaran. Alhamdulillah, saya reda… Seribu orang yang kecam, ada sepuluh orang yang sayang saya, saya dah bersyukur dah,” ujarnya.
Sekadar info, selepas tiga bulan Niezam turun naik mahkamah, kes tersebut berakhir sekitar awal Januari lalu.
#Depresi
#Anxiety
#Gangguan mental
#Niezam Zaidi
#Kesihatan Mental
#Komen Negatif
#Masalah Kesihatan Mental
#Kan Cheong
#Detik Hitam