Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Komen Lah Apa Korang Nak” - Rupanya Tema Met Gala! Che Ta Tak Ambil Hati Baju Jadi Bahan Netizen

Mya Amri
30/05/2022 08:45 MYT
Penampilan unik pelakon Rozita Che Wan di malam Anugerah MeleTOP Era (AME2021) menarik perhatian netizen.

Dengan busana serba Oren dan kembang bermula di bahagian atas bahu membuatkan netizen memberikan pelbagai gelaran lucu.

Bagaimanapun kata Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta mempunyai sebab tersendiri menggayakan fesyen seperti itu buat pertama kali.

“Temanya Met Gala, jadi lain daripada yang lain lah. Style daripada Abu dan busana ni daripada Kuntum.

“Saya pakai begini buat pertama kali adalah kerana tema. Selalu temanya glam, extravaganza tapi kali ni Met Gala jadi inilah hasilnya,” katanya kepada Gempak.

Che Ta ditemui sewaktu sidang media AME2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Che Ta juga turut menjelaskan sebagai tetamu yang dijemput adalah wajar untuk mengikut dan menghormati permintaan ‘tuan rumah’.

“Bila kita menghadiri sesuatu majlis tu kita menghormati tuan rumah dengan mengikut tema yang diberikan.

“Saya punya stylist mengikut tema, jadi saya cakap dengan dia tidak perlu yang terlalu over. Mungkin saya rasa warna busana ini yang menarik perhatian.

“Saya mahukan warna, kalau hari-hari biasa pun saya akan pakai yang berwarna jadi saya cakap dengan stylist mahu warna Oren,” ujarnya.

Tidak ambil hati dengan usikan dan sindiran netizen terhadap gaya yang ditampilkan, Che Ta berkata masing-masing mempunyai pendapat tersendiri.

“Mereka boleh komen apa yang dorang nak komen sebab dorang tak tahu apa alasan kita, jadi saya okay saja.

“Masing-masing mempunyai minat, kesukaan dan pendapat yang berbeza. Saya pun ada pendapat saya sendiri.

“Mereka boleh lontarkan apa saja yang mereka rasa, tetapi hanya kita yang tahu dan ada sebab mengapa bergaya seperti ini,” jelasnya.

Selain Che Ta, usahawan dan pengasas produk kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida juga menjadi target netizen.

Netizen menyamakan Vida dengan salah satu watak manga popular Jepun berjudul Dragon Ball iaitu Majin Buu kerana mempunyai ‘toncet’ di bahagian belakang tudungnya.

#Che Ta #Rozita Che Wan #Netizen #AME2021
;