VIRAL
Komen Lucah Terhadap Anak Dr Amalina, Pemungut Sawit Didenda RM3,000!
Tindakan seorang pemungut kelapa sawit membuat komunikasi jelik dan lucah terhadap bayi perempuan pakar bedah, Dr Amalina Che Bakri, tiga tahun lalu mengundang padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, Sepang pada Jumaat.
Ahmad Nasir Kadiri, 58, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya denda gagal dibayar.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim, Ahmad Fuad menasihati OKS supaya lebih berwaspada ketika membuat sebarang komen di media sosial, kerana setiap perbuatan yang dilakukan pasti membawa akibat.
Ahmad Nasir: Saya minta maaf, saya janji tidak akan mengulangi kesalahan sama lagi, dengan nama ALLAH.
Hakim: Jika mahkamah jatuhkan hukuman ringan, kamu pasti tidak akan beringatkan?
Ahmad Nasir: Saya tak akan ulang lagi, saya janji, akan lebih beringat.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook 'Bro Nasir' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada jam 10.29 malam, 15 Disember 2022.
Pautan itu telah dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya, dekat sini pada jam 11.52 pagi, 3 Januari 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran agar OKS tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
"OKS seharusnya diberi pengajaran dan peringatan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan aplikasi media sosial sebagai satu platform untuk membuat kenyataan perkara lucah.
"Lebih-lebih lagi komen itu dibuat terhadap seorang bayi yang tidak boleh berkata-kata," katanya.
Bagaimanapun, OKS yang tidak diwakili peguam merayu, dikenakan hukuman denda yang ringan kerana tidak berkemampuan.
"Saya bankrap, kerja pula tidak menentu, kadang-kala buruh dan kutip besi buruk selain saya perlu menanggung seorang anak yang masih belajar.
"Ini adalah kesalahan pertama saya, saya menyesal, bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang," katanya.
Sumber: Sinar Harian