Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengurangkan kompaun yang dikenakan kepada enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, Isnin lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan pelajar telah pun diadakan di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran semalam.

Dalam pertemuan itu, pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada selepas kesemua enam pelajar terlibat hadir mengemukakan rayuan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan semua pelajar tersebut daripada golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun dikenakan.

"Sehubungan itu, kertas siasatan terhadap isu tersebut akan dibuka dan siasatan lanjut akan diadakan untuk di bawa ke pertimbangan pihak pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan SOP di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau lagi dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, anggota KKM bertugas mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelajar kolej itu iaitu tidak memakai pelitup muka, tidak memakai pelitup muka dengan lengkap dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

KENYATAAN AKHBAR PENGARAH KESIHATAN NEGERI PERAK Penjelasan Isu Tular di Media Sosial Mengenai Pelajar di Sebuah Kolej...

Posted by Jabatan Kesihatan Negeri Perak on Tuesday, 20 April 2021

Terdahulu, tular di media sosial mengenai pelajar Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500 oleh pegawai KKM kerana tidak memakai pelitup muka biarpun berada dalam kawasan kolej.

Tindakan tersebut kemudiannya dipertikai kerana pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.