Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Komposer Lagu Casablanca Ada Sebab Guna Perkataan ‘Denyut’ Pada Lirik Lagu Berkenaan

Izwan Isa
23/07/2022 03:50 MYT
Komposer lagu Casablanca, Azmee Abdul Manap atau lebih popular dengan panggilan Daqmie mengakui tentang kebenaran fakta tatabahasa yang diulas oleh guru selebriti, Cikgu Zack Kirana mengenai lirik lagu ciptaannya.

Bagaimanapun, menurut Daqmie, penggunaan perkataan ‘denyut’ pada lirik lagu nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu adalah disebabkan ia dilihat bersesuaian dengan metafora yang cuba untuk disampaikan kepada pendengar.

“Saya faham apa yang saya lakukan kerana ia merupakan satu metafora yang ingin saya ketengahkan. Kalau dilihat dari sudut bahasa dan penulisan kreatif, saya ada alasan yang tersendiri menggunakan perkataan berkenaan.

“Begitupun, saya faham dan hormati tegurannya kerana dia merupakan guru Bahasa Melayu. Cuma untuk menerangkan kembali, jantung berdegup, dada berdebar-debar dan nadi berdenyut-denyut.. Tetapi lebih sedap disusun seperti itu (lirik dalam lagu Casablanca). Saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.

Daqmie mengulas mengenai kesalahan tatabahasa yang dibangkitkan oleh Cikgu Zack menerusi video TikTok baru-baru ini. Cikgu Zack berkata, perkataan yang sesuai pada lirik berkenaan adalah ‘degup’ bukannya ‘denyut’.

Mengulas lanjut mengenai impak lagu Casablanca, Daqmie yang turut sama mencipta lagu berkenaan dengan Wan Saleh menjelaskan, banyak faktor yang menyebabkan dia diterima di Malaysia dan juga Indonesia.

“Sebenarnya, saya ada rasa agak takut bila lagu ini diterima ramai dan menjadi besar. Namun, saya berasa bersyukur dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pendengar.

“Pada awalnya, saya memang dah menjangkakan yang lagu ini boleh pergi jauh. Saya sendiri beritahu label tentang jangkaan saya. Melihat pada kejayaan Casablanca, ia secara tidak langsung menjadikan saya lebih bersemangat untuk berikan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya lagi.

#Naufal #Daqmie #Nuha Bahrin #Casablanca #Azrin
;