Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Komposer Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Liza Aziz Hidup Merempat: “Saya Gelandangan”

Maliah Surip
19/10/2023 05:20 MYT
Nama Ross Ariffin mungkin tidak terkenal dalam kalangan peminat muzik. Namun bagi karyawan muzik, Ross Ariffin adalah salah seorang komposer, penerbit lagu dan pemuzik yang cukup disegani kerana kepakarannya.

Meski pernah menerbitkan secara bersama album Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Pancawarna pada tahun 1999 dan mencipta lagu Dia milik Fauziah Latiff kehidupan Ross Ariffin kini sangat menyedihkan.

Karyawan seni berusia 61 tahun itu bergelar gelandangan selepas hilang punca pekerjaan sewaktu COVID 19 melanda dunia, tiga tahun lalu.

“Saya tinggal di jalanan selama tiga tahun. Saya ke sana ke sini, tinggal di Pasar Seni dan juga di Melaka. Saya memang hidup gelandangan," katanya kepada Harian Metro.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia turut dua kali diserang angin ahmar dan kini sukar untuk berjalan dan bercakap.

Ross yang kini sukar untuk bekerja tinggal di rumah perlindungan Samaritan Hope Home, Pudu.

Kehidupan saya bertukar 360 darjah apabila penularan Covid-19 menyebabkan saya menjadi penganggur dan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat menghasilkan muzik," katanya.

Ross berkata, dia akan kembali bekerja selepas pulih nanti.

"Saya akan menerima pekerjaan yang ditawarkan apabila sembuh nanti. Saya boleh bermain piano di hotel untuk mendapatkan wang. Saya juga boleh menulis lagu lagi," katanya yang juga pencipta lagu Kau Dan Aku nyanyian Ning Baizura.

Selain menjadi komposer, Ross memiliki bakat besar bermain instrumen seperti piano dan biola. Dia juga pernah terlibat dengan orkestra di London.
#Viral #Ning Baizura #Siti Nurhaliza #Komposer #Fauziah Latiff #Gelandangan #Ross Ariffin
;