Perseteruan aktor Johnny Depp dengan mantan isterinya, Amber Heard yang masih belum berkesudahan kelak akan dirangkum dalam tiga siri dokumentari.

Dokumentari itu secara khusus akan memaparkan kehidupan Depp selepas beliau kalah dalam satu kes mahkamah bersama media antarabangsa yang menggelarkan dirinya sebagai 'Pemukul Isteri'.

Menurut laporan The Sun lagi, antara pengisian lain dalam dokumentari dengan salah satu judulnya Depp vs Heard, adalah tentang perjalanan kes tersebut yang akhirnya telah meruntuhkan empayar Depp sebagai salah satu aktor paling berpengaruh di Hollywood.

"Dokumentari ini akan memaparkan perjalanan hidup aktor ini yang runtuh selepas konflik hidupnya bersama Heard dibongkar.

"Depp pasti tidak mahu dan berharap 'bencana' ini hilang," tulis akhbar tersebut.

Dokumentari itu nanti akan diproduksi di Amerika Syarikat dan UK.

Untuk rekod, aktor berusia 57 tahun itu kalah dalam kes saman terhadap The Sun yang menyiarkan artikel mengenai dirinya memukul Heard pada tahun 2018.

Pihak mahkamah mendapati memang telah terjadi kekerasan atau Depp menyakiti dan memukul aktres tersebut sepanjang mereka berkahwin.

Mahkamah juga menolak rayuan yang dibuat pihak peguam Depp bulan lalu.

Ekoran itu, Depp telah digugurkan dari dua buah filem yang cukup sinonim dengannya iaitu terbitan Warner Bros, Fantastic Beasts dan Pirates of the Caribbean yang diterbitkan oleh Disney.