Bintang Hollywood terkenal, Britney Spears dilaporkan menjadi mangsa buli siber di Instagram.

Memetik laporan E News, Britney telah menghentikan perkongsian video bersenam dan beberapa foto penggambaran fesyennya di media sosial.

Dalam pada itu, Britney turut meminta para pengikutnya untuk berfikir dua kali sebelum melakukan buli siber.

"Saya telah membaca banyak kritikan negatif dari segelintir pihak, mereka mengkritik perkongsian foto saya memakai pakaian mandi berwarna putih.

"Mereka mempertikaikan saya berkongsi foto dengan latar belakang dan baju yang sama sebanyak 15 kali di Instagram.

"Bagi saya, saya gembira untuk berkongsi foto-foto tersebut dengan peminat kerana saya tak pernah memiliki pakaian mandi berwarna putih," jelas Britney dalam satu kenyataan.

Tambah Britney, seseorang individu yang menulis perkara buruk mengenai individu lain yang tidak dikenali di laman sosial adalah disifatkan sebagai buli siber.

"Saya berkongsi foto-foto tersebut kerana mereka semua tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata negatif terhadap saya, kerana mereka tidak mengenali saya dengan sebetulnya, itu adalah perbuatan buli siber!" tambahnya lagi.

Difahamkan, meskipun kurang selesa dengan reaksi negatif wargamaya, Britney telahpun memohon maaf kepada segelintir pihak yang tidak menyukai perkongsiannya di laman Instagram tersebut.


Sumber : E News