Pengacara dan usahawan Neelofa telah membuka sebuah platform perkongsian di pelantar permesejan Telegram untuk semua peminatnya.

Dilancarkan sekitar minggu lalu, saluran yang diuruskan sendiri oleh Neelofa itu menjadi medium pengantara untuk berkongsi perkara-perkara berkaitan solat, agama dan motivasi.



“Tahun ini, kita menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan daripada kita tidak dibenarkan untuk keluar daripada kediaman masing-masing. Justeru, kita manfaatkan masa yang ada dengan perkara berfaedah.

“Jika dahulu kita tidak sempat, sekarang alhamdulillah dan ini antara keindahan Ramadan pada kali ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Antara perkongsian yang dilakukan termasuklah cara memahami dan mengingat bacaan dalam solat, doa harian dan pelbagai bahan-bahan ilmiah lain seperti ayat al-Quran dan video ceramah agama.

Menurut pengusaha jenama Naelofar itu, tujuan saluran Telegram tersebut diwujudkan adalah kerana suasana sambutan Ramadan pada tahun ini yang sangat istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.



Kini mempunyai pelanggan seramai lebih 72,000 orang, saluran Telegram berkenaan dianggap sekadar ruang baginya untuk berkongsi ilmu.

“Selama ini ramai yang bertanya kepada saya, apakah doa yang saya amalkan sehari-hari dan surah apakah yang menjadi kegemaran. Saya cuba berkongsi di Instagram Stories, tetapi disebabkan limitasi durasi, perkongsian menjadi terbatas. Kalau terlalu banyak yang dikongsi, takut orang jemu dan tak baca.

“Jadi dengan saluran Telegram ini, saya lebih bebas untuk berkongsi apa sahaja yang bermanfaat, asalkan tidak meyimpang. Saya harap, perkongsian ini dapat dimanfaatkan pada keadaan sukar seperti sekarang,” katanya lagi.

Saluran Telegram boleh diakses secara percuma dengan mencari kata kunci Neelofa di ruangan carian.