Pelakon Ammar Alfian akui tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sepanjang proses menjalani kehidupan.

Berkongsi luahan rasa di laman Instagram, Ammar percaya masa buruk yang lalu tidak menentukan masa depan seseorang.

"Sebagai seorang muslim, perbezaannya adalah dosa saya untuk seluruh dunia melihat dan menilai.

"Mereka menggunakannya untuk mengeksploitasi dan fitnah bagi kepentingan mereka sendiri.

"Saya tidak boleh menyembunyikannya walaupun betapa sukar saya cuba. Tetapi saya mohon keampunan dan percaya pada Allah yang maha mengetahui semua perkara.

"Masa lalu yang buruk tidak menentukan masa depan. Kepada peminat dan pengikut, saya bukan seorang yang baik dan saya sedar tapi ambil perkara ini sebagai pengajaran untuk anda semua," tulisnya.



Dalam pada itu, menerusi ruangan Instagram Stories pula, Ammar reda apabila tidak lagi menerima tawaran berlakon di Malaysia.

Walaubagaimanapun, pemilik nama Ammar Alfian Aziz, 33, ini bersyukur apabila terdapat produksi dari luar negara yang berminat untuk bekerja dengannya.

"Takpela. Produksi Melayu taknak aku, takpa. Sekurang-kurangnya negara lain perlukan khidmat aku sebagai pelakon dah cukup baik.

"Alhamdulillah. Orang nak sekat rezeki tapi Allah Maha Mengetahui," luahnya.



Terdahulu, media melaporkan mengenai penularan sebuah video mirip seorang pelakon yang sedang melakukan hubungan intim dengan pasangan sejenis di laman sosial.

Pelakon terbabit kemudian dikatakan membuat laporan di Balai Polis Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, dipercayai pelaku seks songsang itu bukan pelakon terbabit tetapi individu yang dipercayai berasal dari Mexico.

Imbas semula, Ammar mendirikan rumah tangga dengan Nelissa Nezam pada 6 Mac 2016.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Kyro Shakur pada 31 Julai 2019.

Sebelum ini, kisah pergolakan rumah tangga pasangan itu juga pernah menjadi perhatian apabila Nelissa mendedahkan dicurangi Ammar ketika sedang hamil enam bulan.