Penyanyi dan pelakon, Harris Alif berkongsi foto menyerupai konsep pre-wedding menerusi akaun Instagram miliknya sebentar tadi.

Gempak telah menghubungi Harris untuk mendapatkan kepastian mengenai foto tersebut dan untuk mengetahui sama ada bintang berusia 21 tahun ini dalam proses untuk mengadakan majlis perkahwinan.

"Maaf, buat masa ini saya tak mahu komen mengenainya," jawabnya ringkas.

A post shared by Harris Alif (@harrisalif)


Seperti yang diketahui ramai, Harris sebelum ini dikhabarkan menyulam cinta dengan pelakon Intan Ladyana, 38.

Ditanya mengenai kesediaan menggalas tanggungjawab sekiranya bakal bergelar suami pada usia muda, Harris tidak merasakan ia sebagai satu faktor penghalang.

"Kalau bercakap pasal tanggungjawab, ia bukanlah terletak pada umur semata-mata, tak semestinya begitu, tanggungjawab itu harus dilihat pada diri kita sendiri.

"Tak semestinya umur seseorang itu muda dia tidak bertanggungjawab, dan tidak semestinya jika seseorang itu dewasa atau tua bermaksud dia bertanggungjawab, soal tanggungjawab ini terpulang pada diri sendiri," katanya lagi.

Dalam pada itu, Harris mengatakan dia lebih selesa menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan Yang Maha Esa.

"Bab sebegini saya serahkan kepada kuasa Allah, kalau ada jodoh saya, Insya-Allah ada lah, saya terima sahaja, kita doakan sahaja perkara baik-baik.

"Kalau ada apa-apa perkembangan, sudah tentu saya akan maklumkan selepas ini," tuturnya menutup bicara.