Hiburan
Kongsi Foto Terakhir Bersama Ashraf, Instagram Adam Sinclair Dibanjiri Ucapan Takziah
Pengarah yang juga adik kepada Allahyarham Ashraf Sinclair berkongsi momen-momen terakhir bersama abangnya semasa mereka bercuti di New York, Amerika Syarikat.
Menerusi laman sosial Instagram, Adam Youssof Sinclair, 36, memuat naik tiga foto bersama Ashraf ketika mereka berada di Grand Central Station, New York sekitar enam hari lalu.
“Bruhmigo,” tulis Adam yang juga suami kepada penyanyi Yuna di ruangan kapsyen.
Momen adik-beradik tersebut nampaknya meruntun jiwa rakan selebriti dan wargamaya apabila ramai yang menitipkan ucapan takziah serta bersedih di atas pemergian Ashraf.
“Innalillahiwainnaillahirojiun. Ucapan takziah saya pada awak sekeluarga. Semoga Allah SWT tempatkan rohnya di kalangan orang yang beriman. Al-fatihah,” tulis cef selebriti Anis Nabilah.
“Saya menangis walaupun tak kenal awak Adam. Tapi kenal abang awak dah lama. Takziah dari kami. Al-fatihah,” tulis penyanyi Nourul Depp.
“Al-fatihah. Takziah kepada awak sekluarga. Sorry for your lost,” tulis pelakon Dynas Mokhtar.
“Salam takziah untuk awak sekeluarga. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” tulis penyanyi Marsha Milan.
Ashraf Sinclair dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 4.00 pagi (waktu tempatan) hari ini.