Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kongsi Ilmu, Jauhi Toksik! Dr Malar, Zack Kirana, Ryan Bakery & Ceddy Mahu Publik Faham Fungsi Influencer

Gempak
23/02/2023 07:40 MYT
Dr. Malar Santhi, Cikgu Zack Kirana, Ryan Bakery dan Ceddy Ang bukan nama yang asing dalam kalangan pengguna media sosial.

Mereka yang terdiri daripada golongan profesional sehingga individu biasa ini menjadi sohor kini dengan mengusung predikat pempengaruh atau influencer di sebalik konten-konten yang disajikan.


Pernah tidak dikenali sesiapa sehingga kini mempunyai jutaan pengikut dalam laman sosial masing-masing, Dr Malar yang cukup terkenal lewat pesanan dan informasi berguna mengenai kesihatan, Cikgu Zack Kirana pula mengajar masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan tepat lewat teguran-teguran bersahaja, Ceddy si lucu yang menghipnosis dengan resipi dan food review-nya dan Ryan Bakery, sang pembangkit nostalgia lewat konten anak sekolahannya, kini menjadi influencer paling dikehendaki rakyat Malaysia.

Bersama #G The Untold Story, empat Influencer yang tercalon dalam anugerah Gempak Most Wanted 2022 pada 26 Februari ini berkongsi kisah tentang pencapaian masing-masing dan hala tuju menjadi pempengaruh kepada masyarakat.

RYAN BAKERY ELAK TOKSIK MEDIA SOSIAL

#GTheUntoldStory: Ryan Bakery anda memang ingin bergelar Influencer? Anda lakukan konten untuk apa?
RYAN BAKERY: Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, menjadi Influencer adalah kerjaya yang terjadi secara tidak sengaja. Saya sifatkan ini sebagai rezeki Allah untuk jana pendapatan.

Maklumlah pada waktu kita dalam pandemik COVID 19 dan dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), saya diberhentikan kerja. Waktu itu ada sedikit kesal kerana saya baru mendapat pekerjaan yang agak stabil dan boleh dibanggakan kepada ibu dan bapa.

Jadi selepas diberhentikan kerja, saya fikir perlu lakukan sesuatu atau mencari pekerjaan lain untuk ada duit. Oleh kerana pada waktu itu banyak yang menghabiskan masa dengan gajet kerana PKP, saya cuba nasib buat konten berkaitan budak sekolah. Tidak sangka ia disukai dan meletup, jadi saya teruskan karier baharu sebagai content creator sehingga hari ini.

#GTheUntoldStory: Tapi jika melihat usia anda masih 20-an. Konten-konten yang anda sajikan pula lebih mengimbau nostalgia pelajar sekolah pada tahun 80-an dan 90-an. Mengapa?
RYAN: Saya rasa mungkin kerana sering melepak dengan orang yang lebih berusia daripada saya. Jadi dari situ saya dapat idea untuk buat konten yang boleh relate dengan banyak orang. Ia ringan dan diterima banyak. Saya seronok buat konten begini kerana mendapat komen yang bagus sehingga mencetuskan idea baharu untuk konten seterusnya.

#GTheUntoldStory: Seronok jadi Influencer? Bagaimana anda beradaptasi dengan dunia serba baharu ini?
RYAN: Alhamdulillah saya perlahan-lahan beradaptasi dengan dunia pekerjaan ini. Niat saya cari rezeki dan kena jaga pekerjaan saya dengan betul. Sebab itu sekarang saya duduk di bawah pengurusan supaya jadual kerja dan karier dapat diselenggara dengan tersusun dan baik.

Selain menjadi content creator, saya juga mahu melebarkan sayap sebagai pelakon, jadi di bawah pengurusan sekarang kerjaya seni saya dibina. Alhamdulillah sudah ada drama yang saya lakonkan dan akan muncul dengan sebuah filem yang menyaksikan sisi lain Ryan Bakery yang masyarakat lihat di media sosial dengan di layar lebar.

Tapi saya tetap content creator dan berlakon itu semua adalah bonus buat saya. Saya tetap kena ingat asal usul dan karier asal saya adalah content creator walaupun berpeluang menjadi pelakon.



#GTheUntoldStory: Bagaimana pula dengan privasi? Sudah boleh membiasakan diri?
RYAN: Perlahan-lahan. Saya selalu ingatkan diri jangan lupa diri dan tujuan saya menjadi Influencer. Saya pernah terkena kejutan dan Anxiety apabila tiba-tiba menjadi terkenal dan dicari media massa, cerita tentang saya keluar surat khabar dan internet, tapi kini saya cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin.

Tentang privasi pula sebenarnya ia lebih kepada pendedahan di media sosial. Banyak yang toksik apabila kita terbaca komen-komen yang agak kurang menyenangkan.

Sebab itu kalau lihat saya memberi fokus konten dalam TikTok dan Instagram berbanding di Facebook kerana pengguna di dua platform tersebut lebih menyokong dan sporting.

Malah pernah ada akaun palsu saya di Facebook, Ryan Bakery dan memberi impak yang kurang baik terhadap reputasi saya kerana ia boleh membuat banyak orang keliru jika memasukkan konten tipu yang saya sama sekali tidak pernah lakukan.

Di Twitter juga ada akaun palsu di atas nama saya. Jadi sebenarnya privasi itu lebih tidak ‘terjaga’ di media sosial bukan dalam kehidupan peribadi.

Sebab privasi saya kira masih terkawal kerana selepas berkahwin, saya masih duduk di kampung dan belum terfikir mahu berpindah ke ibu kota. Saya senang dan rasa tenang serta banyak idea untuk menghasilkan konten di kampung. Kalau ada keperluan kerja, baru saya datang ke ibu kota. Hidup tenang dan macam biasa di kampung.

#GTheUntoldStory: Harapan untuk Anugerah GMWA 2022? Perlu ke ada penghargaan kepada Influencer?
RYAN: Sangat perlu. Ini akan menjadi pembakar semangat buat orang macam kami berkarya. Mungkin ada orang cuba nak buat tapi belum buat dan dengan ada anugerah seperti GMWA 2022.

Saya memang banyak kali cakap dalam live, tak ada ke yang mahu buat anugerah untuk content creator? Bila Gempak buat, saya seronok sebab semua dihargai (konten). Semoga anugerah ini berterusan dan Malaysia lahir dengan lebih banyak content creator bersama konten-konten yang membina untuk kita nikmati bersama.

JANGAN SOMBONG, JANGAN DIVA! NASIHAT CEDDY UNTUK BAKAL INFLUENCER

#GTheUntoldStory: Ceddy adalah orang biasa, tiba-tiba menjadi terkenal dan populariti naik secara mendadak. Jadi, apa perasaan Ceddy apabila kini sudah dikenali?
CEDDY: Saya sebenarnya tak sangka langsung akan dikenali sampai begini, ramai orang kenal muka saya, nak ambil gambar. Saya rasa sangat gembira. Kalau anda terserempak dengan saya di mana-mana dan mahu ambil gambar bersama, saya okay.

#GTheUntoldStory: Memegang tittle influencer, anda rasa besar tak gelaran itu dan macam mana dengan kehidupan peribadi sebab influencer juga adalah orang biasa.
CEDDY: Saya sebenarnya kurang gemar orang melabelkan saya sebagai seorang influencer, sebab rasa macam cringe, tapi bila ramai sudah menggelarkan saya dengan label sebegitu, secara tidak langsung saya rasa ada tanggungjawab besar.

Bila sudah menjadi perhatian, apa sahaja yang saya cakap nanti ada sahaja orang yang akan pertikaikan. Sebab itu kalau di media sosial saya sentiasa menjadi diri sendiri, tidak perlu berpura-pura. Jadi jika anda jumpa saya pun vibes adalah sama, saya juga manusia biasa, apa yang anda lihat di video dan di luar adalah sama sahaja.

#GTheUntoldStory: Adakah benar menjadi ‘content creator’ ini mendapat bayaran atau pulangan yang lumayan?
CEDDY: Berdasarkan pengalaman saya, ya betul memang lagi lumayan berbanding karier lain, itu pun kerana menjadi seorang content creator kita mempunyai banyak masa untuk melakukan macam-macam konten, ada masa nak shoot itu ini. Jadi bagi saya dari segi peluang kerja itu memanglah banyak sedikit.



#GTheUntoldStory: Menjadi perhatian orang ramai daripada pelbagai peringkat umur, cara pemilihan content anda pula bagaimana?
CEDDY: Bagi saya pemilihan content itu mudah, maksud saya, apa yang paling penting adalah anda harus mendengar apa yang followers mahukan. Followers saya selalu mahukan food review jadi tak akan saya nak buat benda lain pula.

Kadang kala ada content lain tetapi secara majoritinya saya akan kekalkan dengan kandungan yang melibatkan makanan.

#GTheUntoldStory: Ada juga kita lihat beberapa influencer terpalit dengan dakwaan yang apabila sudah famous sikap pun semakin berubah, apa nasihat anda untuk situasi begini?
CEDDY: Untuk saya, saya rasa bersyukur kerana dikelilingi dengan orang yang bagus-bagus. Jika saya rasa berperangai diva, akan ada orang yang menegur.

Nasihat saya senang sahaja, jangan jadi sombong. Waima anda menjadi superstar sekali pun jangan jadi sombong sebab anda pun akan ada waktunya menjadi tidak relevan. Nanti mahu cari kerja pun susah, tak salah sebenarnya buat baik dengan semua orang kan.

#GTheUntoldStory: Harapan untuk GMWA 2022? Perlu ke ada penghargaan kepada influencer?
CEDDY: Masa mula tercalon, saya langsung tidak sangka kerana pencalonannya semua hebat-hebat ada Ryan Bakery, Azfar Heri, Imran Bard yang lagi popular. Saya pula hanyalah normal-normal level sahaja. Sejujurnya saya rasa sangat bangga sebenarnya, menang atau kalah, no problem, asalkan saya sudah tercalon.

Saya rasa untuk kategori ini… Untuk anda memberikan penghargaan kepada seorang influencer kerana content yang bagus dan bermanfaat, menghiburkan orang, bagi saya sangat okay. Bila dapat anugerah pun kita akan rasa macam wow, rasa seperti hasil kerja dihargai.

DR. MALAR SANTHI BERADAPTASI DENGAN POPULARITI, TANGGUNGJAWAB SOSIAL

#GTheUntoldStory: Menyebut nama Dr. Malar pengguna media sosial akan terus boleh kenal siapa gerangannya. Bagaimana anda beradaptasi dengan dunia public figure dan kehidupan sebelum ini yang mungkin lebih sempoi?
DR. MALAR: Ada dua perasaan yang bercampur baur, yang pertama adalah kekok. Sebab kita datang daripada keluarga biasa… kampung. Keluar pun pakai selipar jepun, pakai T-shirt suami. Kita jadi kekok, bukan nak jadi ‘diva’ tapi nak jadi public figure. Bila ada peminat tegur, macam mana nak jawab, nak berinteraksi dengan mereka.

Yang kedua, rasa gembira dan teruja, kita rasa macam ‘wah orang kenal aku la’. Kita ada la perasaan itu. Baru-baru ini saya ada pergi restoran dan bila ke kaunter bayaran, tiba-tiba katanya dah ada orang tolong bayarkan. Saya tak tahu siapa yang baik hati bayarkan.

Tapi disebabkan oleh dua perasaan ini, sebenarnya sebagai seorang doktor dan wanita, saya lebih rasa bertanggungjawab. Saya rasa masyarakat expect dan looking up on me dan saya ada tanggungjawab untuk berikan apa yang mereka perlukan.

#GTheUntoldStory: Selepas menjadi seorang yang dikenali, adakah ia menganggu kehidupan peribadi Dr Malar?
DR MALAR: Buat masa sekarang tidak… tapi ada la satu insiden yang berlaku melibatkan privasi saya. Waktu saya tengah shopping di sebuah pusat membeli-belah, selepas itu dari jauh saya nampak ada orang ambil gambar saya. Bila saya tengok, dia macam melarikan kamera. Dari jauh dia berani ambil gambar saya… lepas itu saya datang tegur dia dan tanya ‘what are you doing?’.

Bila tanya, baru dia cakap ‘my mom follow TikTok doktor. Jadi, saya nak ambil gambar bagi dia’. Saya cakap la dekat dia, boleh saja minta saya untuk bergambar. Itu saja la saya terganggu sikit bila buat macam itu. Sebenarnya bila datang tegur dan beritahu nak ambil gambar, saya okay dan ia tak menganggu pun.

#GTheUntoldStory: Macam mana Dr Malar nak beritahu peminat yang Dr juga seorang manusia biasa yang perlukan privasi?
DR MALAR: Bila saya dah jadi Coleteh Dr Malar, saya dah mentally prepared. Kalau saya keluar, at least seorang dua akan tegur. Anak dan suami saya pun dah tahu. Dekat mana-mana saja orang akan tegur. Jadi, ia tidak menganggu sebab dah jadi satu kebiasaan dengan benda itu. Dan saya tak rasa benda itu satu benda yang ajaib. Saya sendiri, kalau nampak orang yang dikenali, rasa nak tegur.



#GTheUntoldStory: Bagaimana anda mengasingkan dua karier iaitu secara profesionalnya sebagai doktor dan kerjaya tambahan menjadi Influencer yang menyampaikan informasi berkaitan bidang kesihatan? Anda lakukan kerana terjebak atau pulangannya (content creator) lumayan?
DR MALAR: Saya berpegang kepada prinsip bahawa saya ini karier utama adalah seorang doktor yang merawat pesakit secara bersemuka. Khidmat saya di hospital diperlukan sebagai seorang doktor. Jadi untuk apapun perkara lain yang saya lakukan, saya kena ingatkan diri adalah pengamal perubatan. Tanggungjawab saya di sini.

Dalam masa yang sama, saya secara tidak sengaja terjebak dengan dunia media sosial atau content creator. Sebenarnya pada waktu awal membuat konten, saya hanya mahu berkongsi informasi memandangkan kita dalam fasa PKP dan melihat banyak keraguan mengenai kesihatan. Jadi niat saya mahu berkongsi pengetahuan dan informasi sebab waktu PKP banyak yang menghabiskan masa dengan mencari pengetahuan atau bermain gajet. Jadi saya buat ini kerana memberi manfaat kepada masyarakat.

Cuma sebagai seorang doktor, saya sangat memilih dengan lamaran daripada pihak- pihak yang mahukan reviu berbayar. Sebab sebagai seorang doktor, saya tidak menerima apa-apa produk seperti whitening, jamu... atau produk sampah yang melibatkan kesihatan.

Walau tidak dinafikan ada tawaran reviu yang datang agak lumayan dan kalau fikir duit memang cepat la nak kaya. Cuma saya memang tidak akan buat.

Misalnya saya bercakap tentang; ‘anak doktor pun makan vitamin ni, jomlah kita makan’ padahal anak saya tak makan pun.Jadi, etika kerja doktor tidak sama seperti content creator yang lain. Etika ini saya pegang sebab tidak mahu menyogok masyarakat dengan perkara-perkara tidak tepat.

Sebagai doktor, content creator, perempuan dan juga ibu, saya mahu prinsip dan etika dalam setiap perbuatan saya jelas iaitu memberi manfaat kepada semua.

#GTheUntoldStory: Memiliki kerjaya sebagai content creator atau segala hal berkaitan internet dan seterusnya meletup sudah seperti menjadi trend dalam kalangan generasi masa kini. Apa yang boleh Dr katakan?
DR MALAR: Ya, saya sedar perkara ini menjadi satu topik yang sangat hangat diperkatakan. Ini pengalaman saya. Baru-baru ini saya ada pergi ke kem motivasi di sekolah, dipanggil untuk beri motivasi macam mana mahu jadi doktor.

Dan saya menerima banyak soalan mengenai macam mana mahu jadi influencer, berapa gaji, apa yang seronok jadi influencer.

Sekarang ini saya rasa musim 2020 ke atas, it is all about fame and publicity. Orang nampak yang seronok saja, mereka nampak jadi influencer seronok, buat duit, buat content dapat payment tinggi tetapi ini satu persepsi yang salah... banyak pekerjaan yang dulu terkenal sudah tidak wujud.

Ya, ramai generasi muda yang teruja nak jadi influencer dan sebagai salah seorang yang terjebak dalam bidang ini secara kebetulan sebab saya tak pernah berniat... saya nak katakan kepada adik-adik di luar sana, timbalah ilmu di dada.

Awak nak jadi influencer, awak nak influence apa? Apa nak cakap apa dekat masyarakat? Setakat kulit cantik, muka comel, gigi putih, sekejap saja benda itu. You must have your own talent and knowledge.

#GTheUntoldStory: Apa pelajaran dan pengalaman baharu yang anda peroleh selepas menjadi Content Creator?
DR MALAR: Saya seorang doktor, dan bekerja di jabatan kecemasan. Setiap hari saya tengok, setiap apa yang kita ada dalam dunia ini adalah sementara. Nyawa itu sementara, kesihatan sementara, tubuh badan, mata, tangan, gigi dan semua benda adalah sementara. Sekejap saja kalau Tuhan nak tarik. Ini pula kalau akaun media sosial, ini kan pula followers.

Biarlah ada 200,000 followers sekali tapi akaun kena report, habis! Sekelip mata hilang. Biarlah followers sejuta, dua juta pun, sekali buat content yang mengundang kemarahan atau negatif, akaun kena kena godam, what ever it is, hilang semua.
Jadi, tak perlu bongkak, atau sombong dan berubah sikap disebabkan populariti yang datang, dan banggakan akaun sekecil itu, saya sarankan lebih baik kita muhasabah diri dan kita mengingati diri kita, ini adalah tanggungjawab.

Macam orang putih cakap ‘With Great Power, Comes With Big Responsibility’. Jadi bila ada followers yang besar, ia bukan bermaksud kita orang besar, tidak... ia bermaksud kita adalah orang bertanggungjawab, orang yang perlu memberikan pengaruh dan panduan yang betul kepada masyarakat. Kita mempunyai peranan dalam masyarakat ini untuk berjuang. Kalau ada sesuatu yang berkaitan dengan bidang saya, jadi saya akan berjuang.

Selain itu, kita kena jadi orang yang berjaga-jaga. Berubah sikap selepas menjadi influencer perlu tapi dengan aspek yang betul dan positif iaitu mengubah dan membentuk diri kita menjadi orang lebih bertanggungjawab dan membawa diri. Bukan lebih sombong di mana satu hari nanti Tuhan tarik saja, kita akan benci diri dan jadi mangsa depresi. Jadi, jangan buat begitu.

#GTheUntoldStory: Harapan untuk GMWA 2022? Perlu ke ada penghargaan untuk boost diri?
DR MALAR: GMW ini sesuatu yang saya tak sangka, jadi saya tertanya pada diri sendiri, saya ini layak ke, sesuai ke. Sampai sekarang ini terasa seperti mimpi… betul ke tidak. Tapi bagi saya, bagus ada anugerah seperti ini, ada kategori yang positif dan sangat beri inspirasi kepada orang.

Regardless siapa menang atau siapa kalah, the fact that categories itu wujud. Harapan saya, tak kira siapa menang atau kalah, content creator terus memberi konten berkualiti tinggi dan platform sebegini seperti Astro Gempak terus menghargai konten yang betul dan positif selain yang boleh membina negara kita ke arah yang lebih baik. Harapan saya, harapnya ia menjadi inspirasi kepada generasi muda di luar sana.

RAMAI MAHU JADI INFLUENCER, CIKGU ZACK KIRANA; "PASTIKAN BERILMU"

#GTheUntoldStory: Apa perasaan anda bila populariti naik secara mendadak dengan konten yang dilakukan melalui media sosial, pernah terfikir atau tidak akan menjadi famous seperti yang sekarang ini? Mengambil jenama influencer, beradaptasi daripada seorang biasa yang mungkin pada mula hanya suka-suka untuk sharing tapi kini jadi content creator?
ZACK KIRANA: Sebenarnya saya takut akan populariti, tapi mungkin ramai yang tidak tahu berkenaan hal itu. Sebab saya rasa kehidupan sebenar saya agak privasi yang mana saya sendiri merasakan penampilan dan pergaulan saya tidak nampak sebagai seorang guru.

Apabila saya dikenali secara terang-terangan, selama seminggu saya mendiamkan diri sebab takut. Saya takut kesannya sekiranya orang akan kenal saya lebih mendalam. Saya ialah seorang yang introvert namun ramai yang tidak tahu.

Bagaimanapun, saya ambil itu sebagai hikmah. Kalau benar ini cara untuk saya dikenali, saya bersyukur kerana ilmu saya sentiasa dikongsi oleh orang ramai. Saya kira itu adalah ‘bekal’ untuk saya ke sana (alam akhirat) nanti.

#GTheUntoldStory: Bagaimana membezakan perkongsian bersifat pekerjaan iaitu membantu masyarakat lebih mengenal dan menghargai penggunaan bahasa Melayu, berbanding mengisi konten bersifat peribadi?
ZACK KIRANA:
Senang sahaja untuk saya, kalau orang dah tahu kehidupan saya hanya melalui perkongsian yang saya muat naik, ada satu perkara yang saya buat. Jika perkara itu benar-benar privasi saya tidak akan berkongsi di media sosial, contohnya keluarga dan amal jariah.

Kepada mereka yang ada rasa minat yang terlalu kuat atau taasub kepada saya atau orang lain, hendaklah hanya bersederhana dan jangan melebih-lebih. Ini kerana kalau terlalu suka dan seandainya nanti awak tidak dapat respon daripada dia, ia akan membuat anda rasa kecewa. Tidak mustahil boleh mendorong kepada tekanan perasaan atau heart broken. Kalau boleh kawal perasaan tersebut. Kalau nak taasub biarlah pada Agama.

Jadi apa yang anda lihat dalam konten saya tentang bahasa Melayu, itu adalah perkara atau ilmu sebenar yang mahu dikongsikan. Untuk yang tahu, saya ini sebenarnya guru tuisyen dan mengajar hanya dua kali satu minggu. Selebihnya saya berhasrat membantu secara tidak langsung dan santai mengenai bahasa Melayu yang terus terang saya katakan, semakin merosot penggunaannya dalam kalangan pelajar pada masa kini.

#GTheUntoldStory: Benarkah dapat pulangan lumayan daripada kerjaya ini? Kerana ada yang sanggup berhenti kerja untuk nemberi fokus sepenuhnya pada dunia influencer.
ZACK KIRANA: Saya berkongsi ilmu saya secara percuma di media sosial, saya tidak dapat apa-apa. Tetapi apa yang saya dapat adalah kerja atau tugasan. Dalam bahasa mudah orang bagi job pada saya yang mana mereka tahu kemampuan serta kredibiliti saya berdasarkan perkongsian saya.

Oleh itu, apa yang boleh saya katakan media sosial tidak memberi saya pendapatan yang lumayan, sebaliknya media sosial adalah salah satu platform yang akan memperkenalkan saya kepada orang lain. Ada sektor awam dan swasta yang ambil saya untuk menjadi penceramah, tenaga pengajar, untuk berkongsi tentang penggunaan tatabahasa dan sebagainya.

Media sosial bukan menjamin kemewahan, tetapi membantu saya untuk dikenali dan menerima side income yang lain.



#GTheUntoldStory: Sejauh mana anda rasa pengaruh influencer kepada pelajar hingga ada merasakan tak perlu untuk melanjutkan pelajaran, sebaliknya mereka memasang niat untuk menjadi seorang content creator, kongsikan tips pada mereka yang niat sebegitu.
ZACK KIRANA: Memang betul, ramai anak murid saya sendiri yang berkata mereka nak jadi Youtuber dan content creator, tapi satu pesanan saya. Apa sahaja yang kita nak buat pastikan menjadi seorang yang mempunyai ilmu. Saya juga rasa suatu hari nanti mungkin IPTA atau IPTS akan menawarkan bidang yang berkaitan dengan content creator, siapa tahu kan.

Saya rasa seiring dengan perubahan masa tidak mustahil bidang itu akan wujud. Saya nak guna peribahasa tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Jangan pernah samakan tuah kita dengan orang lain yang menjadi popular dan bernasib dalam bidang content creator.

Bagi saya, ia memerlukan usaha yang lebih, untuk dapatkan usaha yang lebih perlu datang daripada ilmu, jadi menuntutlah ilmu dahulu, belajar daripada pengalaman orang lain berkenaan dunia digital. Paling penting, perkongsian itu biarlah perkongsian yang baik kerana kita bawa nama mak ayah.

Perancangan masa depan perlu ada. Bagaimanapun saya seorang bergelar guru, saya mahu anak-anak murid saya sambung belajar dahulu, setidaknya kalau nak jadi content creator boleh ambil bidang berkaitan seperti sains komputer dan sebagainya.

#GTheUntoldStory: Menjadi perhatian orang ramai yang datang daripada pelbagai peringkat umur, namun macam anda nak influence anak muda melalui konten yang anda ketengahkan?
ZACK KIRANA: Apa yang salah dalam tatabahasa akan saya betulkan, itu adalah satu bentuk kesedaran yang saya kongsikan melalui konten saya. Satu lagi, jika dilihat pada penampilan luaran saya nampak begitu moden, tetapi dalam masa saya mahu anak muda dan pengikut saya lihat, meskipun nampak moden tapi bercakap dalam bahasa Melayu dan fasih penggunaan bahasa Melayu.

Maksud saya adalah, don’t judge a book by its cover, anak-anak murid saya perlu jadikan itu sebagai suri teladan.

#GTheUntoldStory: Tidak dinafikan fenomena influencer pada ketika ini sangat memberi impak, tapi hingga sejauh mana anda rasa zaman influencer/Tiktokers ini akan kekal?
ZACK KIRANA: Pempengaruh akan kekal dalam tempoh yang sangat lama, sebab pempengaruh ini menjadi mata kepada orang ramai. Contohnya, kita tidak pergi ke London, tetapi pempengaruh itu pergi ke sana, mereka bawakan kenangan itu untuk kita tonton bersama-sama. Ramai orang yang suka melihat dunia, tapi adakah mampu atau tidak mampu. Jadi apabila kita lihat pempengaruh yang berkongsi percutian mereka di media sosial, itu satu bentuk yang boleh dijadikan inspirasi selain untuk hiburan orang ramai.

Saya yakin pempengaruh akan ada sampai bila-bila. Jangkaan saya selama-lamanya dan sedar atau tidak daripada zaman dahulu lagi sudah ada pempengaruh. Tan Sri P Ramlee itu sendiri ialah pempengaruh.

Cumanya bukan di media sosial. Ramai yang mengidolakan beliau. Pun begitu saya harap, pilih pempengaruh yang memberi nilai positif.

#GTheUntoldStory: Harapan untuk GMW? Perlu ke ada penghargaan untuk boost diri?
Penghargaan kepada pempengaruh sebenarnya merupakan penyuntik semangat untuk kami melakukan lebih banyak konten menarik dan hebat, supaya dengan hasil perkongsian tersebut mampu memberikan manfaat kepada orang ramai dan menceriakan hari-hari mereka.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

Penulis: Maliah Surip, Shahrin Zulkifle, Asyikin Mayudin, Mya Amri
#Viral #Influencer #Anugerah #Digital #Populariti #Pempengaruh #Gempak Most Wanted #Ryan Bakery #Zack Kirana #Ceddy Ang #Dr Malar Santhi
;