VIRAL
Kongsi Keputusan Cemerlang Dikatakan Riyak, ‘Tayang’ SPM Gagal Pula Dijadikan Trend Di TikTok
Ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini berkongsi kegembiraan mereka di laman sosial.
Ada juga segelintir pelajar yang mendapat keputusan tidak memberangsangkan, gagal dalam mata pelajaran dan juga tidak hadir ke peperiksaan turut berkongsi di akaun sosial media mereka.
Sehingga ia seperti menjadi satu ‘trend’ memuat naik keputusan SPM gagal dengan kapsyen serta lagu latar belakang yang sedih di TikTok.
Bagaimanapun ada netizen yang meninggalkan komen memberi kata semangat dengan mengatakan keputusan SPM bukan penentu masa depan.
Namun, ada yang berpendapat komen sebegitu tidak sepatutnya dinormalisasikan kerana ilmu sangat penting dalam kehidupan.
Selain itu, ada juga yang berasakan individu yang berkongsi keputusan SPM gagal hanya ingin meraih simpati memandangkan ia sepatutnya bukan untuk dibanggakan.
“Budak sekarang bangga betul tunjuk result SPM yang gagal.
“Zaman dulu flex keputusan cemerlang. Zaman sekarang flex sekadar lulus,” komen netizen.
Keputusan SPM 2024 merekodkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.
Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.