Penyanyi dan bintang Big Stage musim pertama, Wani Kayrie berkongsi tentang keputusan peperiksaan yang diperolehnya.

Menurut Wani, bukan mudah untuk dia belajar dan bekerja pada masa yang sama.

Namun, berdasarkan perkongsian itu, Wani mendapat keputusan yang cemerlang (GPA 3.84) dalam bidang undang-undang dan perdagangan yang diambil di sebuah universiti tempatan.

"Yang pertama adalah keputusan terbaru saya, gambar kedua adalah keputusan yang lalu. Saja nak berkongsi apa yang saya sedang struggle sebab ya lah, saya banyak post pasal kerja kan?

"Semua student tahu tak senang nak maintain CGPA, memang tak mudah untuk kerja dan belajar pada masa yang sama. Alhamdulillah untuk keputusan ini," coretnya di Instagram.

Tambah Wani, mereka yang rapat mengikuti perkembangannya tahu tentang usaha keras yang telah dilakukan.

"Mereka yang ada dengan saya tahu betapa saya struggle, sekarang saya berada dalam semester panjang dengan empat subjek undang-undang, satu subjek kewangan, satu PEC ditambah lagi dengan shooting dan rakaman.

"Saya percaya pada proses itu, untuk berjaya dalam semua perkara, bukanlah satu perkara mudah," kongsinya lagi.

Meninjau ruangan komen, para pengikut Wani termasuk rakan-rakan industri meninggalkan komen positif dan kata-kata semangat untuknya.

Antara rakan artis yang kelihatan bangga dengan pencapaian Wani adalah Ayda Jebat, Sissy Iman, Afieq Shazwan dan ramai lagi.

A post shared by WANI KAYRIE (@wanikayrie)