Kongsi Keputusan SPM 1995, Ini Nasihat Fazley Yaakob Agar Tak Cepat Mengalah!

Amri Hassan
Mac 16, 2018 03:36 MYT
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam, pelbagai ucapan dan memori indah dikongsikan di media sosial.
Selebriti dan cef terkenal Datuk Fazley Yaakob tidak terlepas daripada berkongsi pengalaman dan nasihat untuk kembali bangkit mengejar impian andai tidak memperoleh keputusan yang diharapkan.
"Ramai yang PM (Private Message) saya kerana kecewa dengan keputusan masing-masing dan tidak mendapat apa yang diharapkan.
"Saya kongsikan keputusan SPM saya tahun 1995. Saya mendapat 8As; 7A1 dan 1A2.
"Situasinya sama pada tahun itu, semua orang berusaha sehabis baik tetapi keputusan yang keluar tidak semestinya apa yang kita harapkan 100%, jangan kecewa!
"Ini baru permulaan, bekerja dengan lebih bijak untuk masa depan anda kerana anda baru sahaja membuka pintu kehidupan, SPM anda menjadi kunci tidak kira apa jua keputusannya.
"Jadi lebih positif dan jangan mudah mengalah," tulisnya di Instagram.
Pemilik restoran SukaSucre Bistro itu memberitahu dia pernah menyimpan impian untuk menjadi peguam atau arkitek namun tidak kesampaian.
"Saya ingin menjadi peguam atau arkitek tetapi semua universiti yang saya minta hanya menawarkan saya Perakaunan & Kewangan dan saya teruskan akhirnya di Victoria University of Wellinton New Zealand.
"Namun kini! Saya juga graduan dari Le Cordon Bleu (Paris) dan University of Reims Champagne-Ardenne (Perancis) yang akhirnya membantu saya menceburi bidang yang tidak pernah saya jangkakan, iaitu kulinari!
"Buat apa yang anda tahu sebaik mungkin!" tambahnya.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @fazleyyaakob
#SPM #Fazley Yaakob #Cef