Kongsi Video Bertadarus, Peminat Terpukau Alunan Merdu Johan As’ari

Ahmad Shah
Jun 23, 2016 04:26 MYT
Pelakon Johan As'ari mencuri tumpuan pengikut di laman Instagram miliknya selepas memuat naik dua buah video sedang bertadarus Al-Quran baru-baru ini.

Menerusi kapsyen video tersebut, Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari, 29, mengalakkan pengikut dan peminatnya membaca Al-Quran sempena kedatangan Ramadan Al-Mubarak.

“Hai yang mulia sahabat-sahabat ku sayang, marilah sama-sama kita belajar Al-Quran. Saya masih belajar, banyakkan bertadarus dan membaca Al-Quran di bulan Ramadan yang mulia ini. Semoga Allah SWT memberkati. #niatbelajar,” tulis Johan menerusi kapysen video di Instagram miliknya.

Rata-rata pengikut dan peminat tersentuh hati dengan kebolehan Johan As’ari mengalunkan bacaan Al-Quran dengan baik dan merdu sekali.

Malah ada di antara kalanga pengikut Johan As’ari mendoakan dan berharap agar ditemukan dengan jodoh yang memiliki ciri-ciri seperti pelakon filem Juvana ini.

Sebelum ini Johan pernah berkongsi foto-foto dia mendalami agama Islam di India dan menafikan dakwaan bakal berhenti berlakon kerana dia menganggap karier seninya itu sebahagian dakwahnya untuk para peminat.

Jom tonton video di bawah!

#Ramadan #Johan As'ari