Kongsi Video Menangis Kerana Sukar Bernafas, Diana Danielle Mahu Buktikan ’Anxiety Attack’ Itu Wujud

Azwa Rahman
Ogos 18, 2019 17:55 MYT
Pelakon Datin Diana Danielle tidak dapat menahan sedihnya apabila berdepan masalah serangan kebimbangan dan keresahan.
Menerusi laman sosial Instagram, Diana berkongsi sebuah video IGTV dirinya menangis teresak-esak akibat mengalami masalah sukar bernafas.
Menurut Diana, serangan keresahan bukan suatu perkara yang boleh dibuat main.
“Keresahan ini bermain dengan emosi anda. Dan sekarang saya letih.
“Tidak dapat bernafas selama beberapa hari ini membuatkan saya rasa takut. Dada saya sakit kerana terlalu terbeban untuk bernafas”, ujarnya menerusi ruangan kapsyen. Malah menurut Diana lagi, dia menangis bukan mahu menunjukkan sisi lemahnya tetapi untuk membuktikan pada dunia bahawa serangan keresahan sememangnya wujud.
“Saya berkongsi kerana di Malaysia, ia tidak banyak didedahkan dan ini tidak adil.
“Saya akan bersikap terbuka dan akan mencuba pelbagai solusi yang anda semua cadangkan,” jelasnya dengan positif.
Menerusi ruangan komen, ada seorang doktor yang tampil memberikan nasihat perubatan.
Menurut pegawai perubatan yang dikenali sebagai Dr Man, beliau meminta Diana untuk tidak memaksa pernafasannya.
“Alih fokus Diana pada sesuatu perkara yang awak suka, nanti slowly dia akan hilang. Perkara ini berpunca daripada otak kita dikawal oleh minda separa sedar.
"Jangan tonton filem seram dan jangan sertai sebarang aktiviti yang mengejutkan. Diana kena sibukkan diri dan fokus pada perkara lain,” nasihat beliau lagi.
Diana turut berterima kasih kepada semua sokongan dan doa yang diterima daripada rakan-rakan selebriti serta netizen.
Video berdurasi hampir tiga minit itu sehingga kini telah menerima hampir 400,000 tontonan.
BACA: "Berpeluh, Insomnia Teruk, Gelisah & Hilang..." - Diana Danielle Kongsi Penderitaan Hidap 'Anxiety Attack'
Pada Sabtu, Diana sempat memuat naik sekeping foto dan sepotong video dirinya menggunakan alat nebuliser untuk masalah pernafasan.
#Selebriti #Kesihatan #Perubatan