Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kongsi Video Menangis Ketika Di Tahanan, Da’i Syed Akhirnya Syukur Sudah Bebas Dari Pertuduhan - “Setelah 3 Tahun Saya Berjuang…”

Asyikin Mayudin
11/04/2023 02:50 MYT
Selepas tiga tahun akhirnya penceramah bebas Da’i Syed menarik nafas lega apabila dia berjaya membersihkan nama, maruah dan keluarganya.

Da’i Syed menerusi laman Instagram miliknya meluahkan rasa syukur selepas dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin.

“Alhamdulillah ya الله. Setelah tiga tahun saya berjuang membersihkan nama, maruah dan keluarga saya.

“Hari ini (Isnin) tepat 19 Ramadhan, saya dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” kata Da’i Syed.

Suami kepada pengacara Hana Ismail ini juga berkongsi video memperlihatkan dia menangis ketika dalam tahanan semasa membuat video panggilan bersama ibunya.

“Saya kongsikan moment titik terendah saya ketika dalam tahanan dan video call bersama mama. Benarlah air hujan yang jernih turun dari awan yang gelap,” kongsinya lagi.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Edros yang mewakili Syed berkata, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie sekali gus membebaskan anak guamnya daripada tuduhan jenayah seksual.

Syed Amirol menerusi perkongsian di Twitter memberitahu seramai 18 orang saksi dipanggil memberikan keterangan sepanjang prosiding berlangsung.

Pada Mei 2022 Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan (DNA) Syed atas pertuduhan mencabul serta melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.

A post shared by SYED IQMAL ? (@daisyed_)

#Dai Syed #Syed #Dai Syed bebas #Dai Syed menangis
;