Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Konon Nak Jimat, Suami Isteri Rugi RM10,000 Disebabkan Aplikasi IPTV

Mya Amri
24/08/2022 22:50 MYT
Penipuan atas talian atau scammer masih lagi menjadi-jadi hingga ke hari ini.

Terbaharu, seorang wanita dan juga suaminya tidak menyangka mereka juga merupakan mangsa scammer.

Menerusi akaun Facebook (FB) milik Aisyah Nasri, dia berkongsi pengalaman pahit yang berlaku supaya menjadi pengajaran buat orang ramai.

Menurut Aisyah, dia terpaksa berputih mata selepas RM10,000 di dalam akaun banknya lesap kerana terpedaya dengan pembelian kotak TV penstriman yang tidak sah.

Jelas Aisyah, pada awalnya dia bercadang untuk menamatkan langganan Astro dan berpindah kepada perkhidmatan IPTV yang diiklankan di laman media sosial.

“Kejadian bermula pada 10/8/22 apabila saya cuba mencari aplikasi perkhidmatan IPTV. Konon-konon nak terminate Astro sebab dah tak tengok sangat sekarang.

“Saya cuba cari aplikasi itu dekat FB, jumpa satu profile premium tv 5g (sekarang FB profile itu sudah tiada, mungkin dah ada orang report).

“Saya mulakan chat untuk cuba aplikasi itu. Selepas chat dengan seller, seller hantar aplikasi dekat WhatsApp untuk di download dan sign up menggunakan aplikasi tersebut.

“Sebab saya menggunakan Iphone, aplikasi tersebut tidak dapat dibuka menggunaka Iphone.Seller minta buka aplikasi menggunakan android phone.

Tambah Aisyah lagi, disebabkan aplikasi tersebut tidak boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar miliknya, dia kemudiannya menghantar aplikasi tersebut ke nombor suaminya bagi tujuan pendaftaran dan pembayaran.

“Kerana ‘kebijaksanaan’ saya, saya send apps tersebut ke phone suami saya. Selepas sign up kami cuba buat bayaran menggunakan password M2U.

“Pada mulanya saya menggunakan username dan M2U saya. Dua kali cubaan tak berjaya. Kami cuba guna akaun suami, juga tak berjaya jadi kami biarkan saja.

“Saya sedar duit dalam akaun hilang apabila saya cuba buat satu transaksi pada malam 11/8/22, jam 10 malam.

“Saya terkejut ada transaksi dua kali transfer ke akaun suami saya sebanyak RM5,000. Saya terus menghubungi suami saya untuk check,” jelasnya.

Disebabkan itu juga, Aisyah terus bertindak menghubungi pihak bank dan kemudiaanya mendapati dirinya telah ditipu.

“Tanpa fikir panjang saya call Maybank terus untuk pengesahan macam mana boleh ada transaksi sedangkan saya tak terima apa-apa tac number?

“Pegawai bertugas bertanya pada saya kalau saya ada download apa-apa apps recently? Bingo! Memang kena scam!

“Apps tu malware! Bila kami cuba buat bayaran dia dapat detect username dan password M2U kami. Memang RM10,000 masuk ke akaun suami saya.

“Tapi duit telah dikeluarkan ke akaun Shopee. Jadi kami tak dapat trace pergerakan duit itu. Duit dalam akaun suami saya juga lesap,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aisyah juga berpesan supaya orang ramai lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan taktik penipuan atas talian ini.

“Alhamdullilah saya sedar awal. Silap saya letak limit RM10,000 per day. Kalau saya lambat mungkin lepas pukul 12am lesap lagi RM10,000.

“Hati-hati kawan-kawan semua. Jangan mudah download apa-apa aplikasi yang mencurigakan. Kalau boleh letak limit per day sikit-sikit je. Naikkan limit tu bila perlu sahaja.

“Rupanya bila suami google scammer melibatkan tv apps ni bukan benda baru. Kami yang tak sedar. Sedih memang sedih. Tapi tak ada yang kekal dekat dunia ni. Semua milik Allah,” coretnya.

Untuk info, penstriman haram adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun ataupun kedua-duanya sekali.

#Astro #Scam #Scammer #Mangsa Scammer #IPTV
;