Laman Utama
Konsert 30 Tahun, Pintu Dibuka Seawal 5.30 Petang, Dewa 19 Bawa Lebih 30 Lagu
Buat baladewa dan baladewi (panggilan bagi penggemar kumpulan Dewa 19), hari ini, 9 dan esok 10 September 2022 adalah detik yang sangat dinantikan.
Kugiran tersohor dari Surabaya ini siap bertemu para peminat mereka bermula pukul 8.30 malam di lokasi yang dijanjikan, Axiata Arena, Bukit Jalil.
Apa yang mengujakan, konsert yang pertama kali dilakukan setelah pandemik COVID 19 ini adalah sempena merayakan ulang tahun ke-30 Dewa 19 yang diasaskan oleh Ahmad Dhani kemudian diperkuat dengan anggota lainnya seperti Andra serta dua mantan vokalis terkenal mereka, Ari Lasso dan Once.
Merayakan 30 tahun Dewa 19, konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment itu ‘terpaksa’ dilakukan selama dua hari selepas tiket yang dijual ‘laku keras’ ini sepatutnya akan membawa 30 buah lagu dari album seperti Dewa 19 dan Cintailah Cinta.
Namun, penganjur konsert, Iman Tang mendedahkan, hanya di Malaysia, Dewa 19 yang sepatutnya memainkan 30 buah lagu (mengikut 30 tahun keraian) akan mendendangkan lebih daripada apa yang dijanjikan.
“Dewa 19 sangat teruja, terutama Dhani. Dan Dewa 19 dengan 30 tahun 30 lagu, akan menjadi lebih lagu. Bukan 30 lagu, Dewa 19 akan bawa lebih 30 lagu untuk kedua dua malam konsert mereka.
“Namun ada sedikit seleksi lagu yang tidak sama untuk konsert pada malam ini dan malam esok,” katanya kepada Gempak.
Iman Tang ditemui sewaktu malam Dewa 19 melakukan persiapan dan latihan di lokasi konsert yang menyaksikan keempat empat vokalisnya iaitu Ari Lasso, Once, Virzha dan Ello turut mempersembahkan beberapa buah lagu.
Iman juga memberi jaminan, energi yang diberikan Dewa 19 untuk melakukan konsert selama dua malam berturut turut tidak akan berkurang.
“Mereka adalah kumpulan yang profesional dan tentunya prestasi atau energi yang diberikan sama ada pada malam pertama atau kedua sama sahaja. Ia juga disokong dengan sistem bunyi yang baik dan reka pentas yang baik,” tambahnya lagi.
Menjanjikan sebuah acara yang akan berjalan lancar, Iman memberitahu pintu konsert mula dibuka seawal pukul 5.30 petang dan mengalu alukan kedatangan peminat lebih awal kerana pelbagai kemudahan seperti tambahan ruang solat dan jualan makanan ada disediakan di dalam stadium.
“Peminat sudah boleh masuk ke dalam stadium seawal pukul 5.30 petang. Ya, kami buka dan persilakan Baladewa dan Baladewi masuk 5.30 petang, bagi pemegang tiket berdiri terserah untuk mencari lokasi paling menarik.
“Tidak dilupa ada jualan makanan dan ruangan solat yang kami tambah untuk penonton beragama Islam menunaikan solat.
“Ini kami lakukan sebagai langkah keselamatan, terutama untuk konsert pada malam 10 September kerana peminat Dewa 19 akan bertembung dengan lebih 80,000 peminat yang datang menyaksikan pertandingan final bola sepak.
“Jadi untuk keselamatan juga, di Axiata, akan ada 70 anggota polis yang menjaga peminat yang datang,” katanya.
Konsert Dewa 19 30 Tahun 30 Lagu 30 Kota ini mendapat sokongan Astro Gempak selaku digital media rasmi, Hot FM dan Buletin FM selaku radio rasmi serta manakala Kesion Malaysia dan EF Media pula selaku rakan media rasmi.
Must-Watch Video