Konsert 4G's yang menampilkan empat artis terkenal, Tomok, Hazama, Akim Ahmad dan Black yang dijadual berlangsung pada April depan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Penangguhan itu selaras dengan arahan kerajaan untuk menangguhkan semua aktiviti yang melibatkan perhimpunan sebagai salah satu usaha dalam menangani wabak COVID-19 yang melanda negara.

Perkara itu dimaklumkan penganjur, Belbis Sdn. Bhd dalam satu kenyataan yang dikongsikan Tomok menerusi satu entri di Instagram miliknya.

"Dukacita kami mengumumkan terpaksa menangguhkan Konsert 4G’s Gabungan Melodi Terindah yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

"Penangguhan ini dibuat selaras arahan kerajaan untuk menangguhkan semua aktiviti melibatkan orang ramai dan juga penutupan semua premis milik Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayan (MOTAC) termasuklah Istana Budaya, sekurang-kurangnya sehingga 30 April 2020 disebabkan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia," katanya.

BACA: Hazama, Black, Tomok & Akim Bergabung Dalam Konsert 4G'S

Biarpun begitu, katanya, tarikh baharu persembahan konsert itu masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan kelak.

"Peminat yang telah membeli tiket dimohon bersabar serta menyimpan tiket tersebut dan ianya sah digunakan pada tarikh konsert akan datang mengikut hari yang telah di beli," jelasnya.

Bermula hari ini, orang ramai diminta mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan termasuklah menangguhkan sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan perjumpaan orang ramai sehingga 31 Mac.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!