HIBURAN
Konsert ‘Aku Stacy’ Bakal Pamer Sisi Luar Biasa Stacy, Gegarkan Tanah Kelahiran Jun Depan!
Bintang pop sensasi tanah air, Stacy mengumumkan konsert solo mega pertamanya, ‘AKU STACY’ yang dijadualkan berlangsung pada 21 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Konsert anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment dan ditaja khas oleh U Mobile itu bakal menjadi titik sejarah penting dalam perjalanan seni Stacy, yang sudah hampir 17 tahun menghiburkan peminat setia di seluruh Malaysia, khususnya di Sabah, tanah kelahirannya.
Mempersiapkan Pengalaman Epik Untuk Peminat
Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi merupakan satu penghormatan khas buat para peminat yang telah setia menyokong perjalanan seni Stacy sejak awal kariernya.
"Buat saya, konsert ini adalah cara untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah memberi sokongan padu kepada saya sejak tahun 2008.
“Konsert AKU STACY bukan sekadar persembahan, ia adalah sebuah simbol penghargaan kepada mereka yang telah menemani saya sepanjang perjalanan muzik ini.
"Konsert ini bukan hanya tentang muzik, tetapi tentang bagaimana saya ingin menggambarkan evolusi seni saya, dari segi muzik, tarian, dan fesyen.
“Saya ingin memberikan sesuatu yang istimewa untuk peminat, sesuatu yang mereka tidak akan lupakan,” jelas Stacy lagi.
Kejutan dan Persembahan Penuh Aksi
Sebagai seorang artis yang sinonim dengan persembahan penuh aksi dan kejutan, Stacy turut menjanjikan elemen kejutan yang bakal mengujakan para peminat di Sabah.
“Konsert ini adalah durasi persembahan terpanjang saya. Saya ingin memberi sesuatu yang lebih daripada biasa, dengan kejutan yang pastinya membuatkan penonton terpukau,” ujar Stacy yang terkenal dengan persembahan energetik dan penuh interaksi dengan peminat.
Dengan pengalaman yang luas di pentas muzik dan hiburan, Stacy mengakui bahawa perjalanan panjangnya dalam industri muzik telah memberi peluang untuknya memperkembangkan kreativiti dan emosi melalui persembahan yang lebih besar.
“Setiap lagu mempunyai makna yang mendalam dalam kehidupan saya. Saya ingin menyajikan persembahan yang besar, dengan muzik dan tarian yang menggabungkan elemen pop culture, seperti yang pernah saya bawa dalam program ‘The Hardest Singing Show’ dengan lagu ‘Asmaradana’.
“Ini adalah satu pengalaman istimewa bagi saya untuk membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya.
"Saya berharap peminat di Sabah akan memberikan sokongan yang tulus terhadap konsert ini. Ini adalah konsert solo pertama saya di tanah air, dan saya ingin menjadikannya sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh mereka yang datang," tambah Stacy.
Tiket untuk konsert ini dijangka akan mula dijual tidak lama lagi, dan peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket awal bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan luar biasa ini.