Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Konsert Cakra Khan A Decade Bikin 3,000 Penonton Berbagi Rasa, Ada Tangis, Tawa & Canda Riang

Shahrin Zulkifle
25/01/2023 13:00 MYT

Satu lagi sejarah peribadi berjaya dilakar oleh penyanyi bersuara unik berasal dari Indonesia, Cakra Khan menerusi konsert sulungnya, Cakra Khan A Decade yang berlangsung dengan meriah hujung minggu lalu.

Kejayaan konsert penyanyi berusia 31 tahun itu terbukti jelas saat 3,000 penonton mengisi setiap lopongan kerusi yang ada di Plenary Hall, KLCC, Kuala Lumpur sekaligus membuktikan namanya cukup gah di Malaysia.

Membuka tirai konsert dengan lagu Cinta Sejati dan Opera Tuhan, penonton terus terbuai bagaikan di jampi saat suara Cakra yang serak serak basah itu memecah kesunyian ruang dewan.

Tidak melupakan juga lagu lagu berhantu Cakra yang menjadi kegilaan peminatnya iaitu Kepada Hati, Mencari Cinta Sejati, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah yang wajib dipersembahkan pada malam tersebut.

Pada konsert berkenaan, Cakra turut mengundang dua penyanyi hebat dari Malaysia iaitu Aina Abdul dan Khai Bahar untuk sama berkongsi pentas yang cukup bermakna buat dirinya itu.

Manis mengenakan busana sequin berwarna keemasan, ternyata Aina tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan vokalnya yang hebat dengan menyampaikan tiga buah lagu termasuk Terus Hidup, Semalam dan Seluruh Cinta duet bersama Cakra.

Manakala, Khai Bahar telah menghiburkan penonton menerusi lagu Luluh dan Terlanjur Cinta duet bersama Cakra.

Meneruskan persembahan, Cakra yang menyedari kebanyakkan lagu miliknya mempunyai mood galau, ternyata dia bijak mencuri hati penonton apabila lagu Hanya Memuji dan I Will Survive menjadi pilihan untuk mengajak seisi dewan bertepuk tangan serta menari.

Sebagai tanda penghargaan kepada dua figura yang menjadi idolanya yang turut hadir pada malam tersebut iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Rossa, Cakra telah mendendangkan beberapa lagu milik mereka iaitu Bukan Cinta Biasa dan Seluruh Cinta serta Terlalu Cinta.

Tatkala Cakra mendendangkan lagu Ayah, dendangan asal penyanyi Rinto Harahap, seisi dewan seakan sepi kerana menghayati lirik lagu yang cukup bermakna tersebut.

Dendangannya yang penuh emosi itu bikin penonton mengalirkan air mata mengenangkan ayah masing-masing sama ada yang telah pergi atau masih bersama.

“Saya sudah 10 tahun dalam bidang seni, saya dedikasikan kepada ayah saya. Dua tahun lalu dia tinggalkan kami. Tiap ada kenduri di kampung, dia akan suruh saya nyanyi.

“Hari terakhir bapa, sekeluarga ada di samping dia. Katanya, bapa ingin kamu ada di panggung bikin senang orang. Hidup harus diteruskan. Buat teman yang ada ibu bapa jangan abaikan mereka,” ujar Cakra dalam keadaan sebak.

Bertambah manis lagi, apabila ibu Cakra turut hadir bersama ahli keluarga lain untuk sama sama menjadi saksi kepada kejayaan konsert sulung penyanyi bersuara serak serak basah itu.

Selain Khai dan Aina Abdul, konsert anjuran Seven Skies Motion turut mengundang Ade daripada Band Govinda yang bergerak sebagai pemetik gitar saat Cakra mendendangkan lagu Tanpa Batas Waktu dan Hal Hebat.

Turut sama merasai kemeriahan konsert Cakra Khan A Decade termasuk selebriti tanah air seperti Fazura, Fattah Amin, Puteri Sarah, Adira, Nabil Ahmad dan ramai lagi.

Kesimpulannya, tiga jam menikmati konsert Cakra seperti tidak puas. Apa pun ia merupakan satu malam yang cukup berminat buat Cakra dan peminat yang hadir.

#Konsert #Siti Sarah #Siti Nurhaliza #Cakra Khan #Cakra Khan A Decade
;