HIBURAN
Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah’ Bakal Gegar Kuala Lumpur 5 Julai Ini
Buat pencinta lagu-lagu balada dan emosi galau yang mendalam, kumpulan dari Indonesia, Dadali, bakal mengubat rindu peminat Malaysia menerusi konsert ‘Sebuah Kisah Volume 1’ yang akan berlangsung pada Sabtu, 5 Julai 2025, di Zepp Kuala Lumpur.
Berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 11.00 malam, konsert ini dijangka menjadi malam penuh air mata, nostalgia dan luahan rasa cinta yang mendalam, seiring dengan reputasi Dadali sebagai “King of Sad Song” dalam arena muzik serantau.
Dadali akan membawakan lebih 15 buah lagu hit yang pernah menguasai carta muzik Indonesia dan Malaysia, termasuk “Disaat Aku Mencintaimu”, “Disaat Aku Tersakiti”, “Disaat Sendiri” dan “Sebuah Kisah”.
Malah, mereka turut merancang untuk menyanyikan lagu-lagu dari penyanyi lagenda Malaysia termasuk M. Nasir, sebagai penghargaan kepada peminat tempatan.
“Sejak saya masuk Gegar Vaganza, saya rasa Dadali perlu buat konsert di sini. Akhirnya doa kami termakbul,” kata vokalis utama Dadali, Dyrga, ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Dyrga, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pembuktian bahawa Dadali pernah menjadi sebahagian daripada gelombang muzik Asia.
“Ini adalah pembuktian bahawa kami pernah berkontribusi besar dalam muzik Asia. Kami tidak akan sia-siakan momentum ini,” jelasnya lagi.
Menambah kemeriahan malam tersebut, konsert ini turut menampilkan penyanyi, Ronnie Hussein.
Kehadiran Ronnie dijangka menguatkan lagi ikatan muzik dua negara dan memberi warna istimewa buat konsert yang sarat kenangan dan perasaan itu.
Tiket-tiket boleh didapati di laman web rasmi www.myticketempire.com dengan kemudahan pelan bayaran ansuran melalui Atome, SPayLater, dan Grab PayLater – memudahkan peminat menikmati konsert tanpa membebankan bajet.
Must-Watch Video