Konsert Datuk Sheila Majid Di Jakarta Ditunda, Peminat Berang!

Amri Hassan
Januari 12, 2018 02:53 MYT
Peminat setia ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid meluahkan rasa kesal berikutan pengumuman penundaan konsertnya di Jakarta yang dijadualkan berlangsung pada 20 Januari depan.
Menerusi pengumuman yang dibuat menerusi akaun Instagram rasmi IME Indonesia semalam, konsert itu terpaksa ditunda berikutan masalah teknikal.
"Kami sangat kesal untuk memaklumkan bahawa Sheila Majid The Concert Jakarta 2018 yang dijadualkan berlangsung pada 20 Januari 2018 terpaksa ditunda kerana masalah teknikal.
"Tiket yang dibeli masih sah untuk konsert baharu yang akan diumumkan tarikhnya," maklum akaun penganjur konsert tersebut.
Penganjur turut memohon maaf atas masalah tersebut dan meminta peminat menghubungi pihak terbabit untuk pertanyaan lanjut.
Bagaimanapun, peminat yang rata-ratanya sudah membeli tiket penerbangan dan penginapan ke Indonesia sempena konsert itu berang berikutan pengumuman saat-saat akhir itu.
"Kenapa umumkan saat-saat akhir dan peminat akan menyalahkan Datuk Sheila Majid bukannya penganjur. Ini akan menjejaskan reputasi beliau," tulis @zraishan.
"Biar betul! Kami sudah beli tiket penerbangan pun," tulis @ridzanitaridzuan.
"Sudah beli tiket penerbangan dan tempahan hotel pun. Masih menunggu tarikh baharu," tulis @saubingwong.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ime_indonesia
#Konsert #Indonesia #Konsert #Datuk Sheila Majid