Hiburan
Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Tetap Berlangsung Biarpun Ahmad Dhani Dipenjara
Majlis Hakim Mahkamah Negeri Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap pengasas kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani.
Menerusi laporan media Indonesia, Ketua majlis berkenaan, Ratmoho menjatuhkan hukuman tersebut ekoran tiga entri yang dikongsi Dhani di laman Twitter berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.
Majlis Hakim turut memerintahkan Dhani untuk ditahan dan berdepan dengan hukuman penjara.
Sepatutnya, Dhani dan Dewa 19 bakal mengadakan konsert reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Februari ini.
Menerusi sebuah kenyataan media pihak penganjur konsert, NIZRA Production, mereka mengesahkan konsert terbabit tetap akan diteruskan.
"Kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel' yang bakal berlangsung pada 2 Febuari 2019 di Stadium Malawati Shah Alam akan diteruskan.
"Tiada sebarang penundaan atau pembatalan konsert berlaku seperti yang digembar-gemburkan.
“Kami berharap peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana konsert tersebut akan tetap berlangsung. Dewa 19 akan terus memberikan persembahan terbaik buat semua,” kata Nik Iruwan selaku Pengarah Urusan Nizra Production.