Pulang dengan senyuman dan menggamit 1,001 memori!

Itulah perasaan yang dapat digambarkan usai Konsert Exists Reunion yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.



Saya membesar dengan lagu-lagu kumpulan Exists semenjak mengenali mereka lewat tahun 2001 menerusi album Ada.

Ketika itu, mereka mencipta fenomena tersendiri dan ia membuatkan lagu Jesnita serta Julia menjadi siulan rakan-rakan di bangku sekolah, hampir setiap hari!

Semenjak itu, saya menjadi peminat kumpulan ini dan mula mengikuti perkembangan muzik mereka serta mengimbau kembali koleksi lagu-lagu lama mereka yang pernah popular semenjak tahun 1991.



Sudah lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru, peluang untuk menghadiri Konsert Exists Reunion tidak harus dilepaskan untuk kembali mengimbau kenangan!

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Konsert Exists Reunion anjuran Shiraz Projects ini menghimpunkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalis iaitu Mamat dan Ezad.

Ternyata hujan lebat tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke Stadium Malawati bagi menjadi saksi sejarah manis kumpulan Exists mengadakan konsert reunion mereka.



Seawal jam 6 petang, peminat sudah mula membanjiri perkarangan stadium dan keadaan cuaca tidak menjadi alasan untuk mereka menyaksikan gabungan istimewa itu.

Persembahan yang ditampilkan memukau, semuanya cukup rasa dan mereka mantap dalam menghiburkan penonton yang bertandang.

Sistem audio, pencahayaan serta pentas tersergam indah memberikan perisa enak terhadap persembahan tujuh orang anggota Exists yang sangat menghiburkan penonton.

Visual pendek berkenaan perjalanan tujuh anggota Exists Reunion mencuit hati penonton yang hadir, terutamanya kisah Shah yang gemar mengambil foto sendiri serta cerita Ujang yang 'mengenakan' Ajai ketika jam 3 pagi!



Lupakan seketika insiden kontroversi yang dilalui oleh Mamat sebelum konsert reunion ini berlangsung kerana alunan vokal keramat miliknya kedengaran mantap dan langsung tidak menghampakan.

Seperti selalu, Ezad pula berjaya membuai perasaan peminat yang hadir untuk larut dalam emosi setiap bait lirik lagu Exists dengan suara lunak miliknya.

Rangkaian 24 buah lagu yang dipersembahkan semuanya malar segar dan dinantikan peminat yang mahu menyanyi bersama Mamat dan Ezad.



Lagu-lagu seperti Anugerah, Janji Padamu, Percayakan Siti, Kapal Terbang Kertas, Bunga, Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu, Dirantai Digelangi Rindu, Untukmu Ibu, Mama Tolong Percaya, Julia, Mengintai Dari Tirai Kamar, Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu benar-benar mengubat kerinduan mereka yang hadir.

Bait-bait lirik yang dipaparkan di skrin juga turut membantu peminat untuk sama-sama mengadakan 'sesi karaoke' mereka sendiri!

Dalam pada itu, mereka juga mempersembahkan lagu baru mereka, Tak Berakhir yang menggabungkan alunan vokal Mamat dan Ezad.



Empat lagu terakhir iaitu Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu juga dipersembahkan secara duet oleh Mamat dan Ezad.

Penonton yang hadir pulang dengan senyuman yang puas, gembira kerana dapat menikmati persembahan rangkaian lagu hits Exists ketika zaman membesar, dari remaja menuju dewasa.



Persembahan Exists Reunion harus dikenang sebagai satu konsert yang berjaya dan berada dalam kelas tersendiri!

Foto: Azrul Rafie (Instagram @azrul_rafie)