Bagi menghormati pandangan masyarakat, pihak penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Milenia memilih untuk melakukan penjenamaan semula sebagai Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

Menurut penganjur iaitu Mission Sight, persembahan ini merupakan konsert dangdut berskala besar yang pertama kali berlangsung di Malaysia dan sudah tentu pihak mereka mahu meninggalkan kenangan dan menjadi penanda aras terbaik.

“Pihak kami sedar bahawa apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ianya akan mendapat reaksi dan persepsi negatif dari masyarakat setempat, tambahan lagi muzik koplo jika di Indonesia diiringi tarian agak seksi.

“Dengan demikian, dalam memartabatkan muzik dangdut di Malaysia maka kami tampil dengan persembahan yang berbeza.

“Lebih mahu menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa elemen negatif dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Lebih membanggakan, konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records, sekiranya tiket habis terjual.

Menariknya, selain menggabungkan artis-artis dangdut popular dari Indonesia dan Malaysia, konsert ini juga bakal dimeriahkan lagi dengan Festival Muzik Milenia.

Festival tersebut bakal diadakan selama tiga hari bertempat di perkarangan stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 01 Oktober 2023.

Antara aktiviti yang akan berlangsung sepanjang festival ialah, persembahan daripada artis-artis genre dangdut, ‘Food Fest’ yang disertai oleh vendor-vendor makanan viral dari Malaysia dan Indonesia serta pelbagai lagi acara lain menjelang konsert pada 30 September ini.

Tikat Harga Rahmah, Pengurangan Harga 50%

Berita baik buat semua, pihak penganjur memperkenalkan tiket harga rahmah dengan membuat pengurangan harga sebanyak 50% bersempena dengan ‘Merdeka Promo’.

Penganjur juga berharap agar dengan harga rahmah ini Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur ini dapat dijadukan sebagai konsert mesra keluarga dan masyarakat.

“Kami hanya menjual irama dan lagu bukan unsur-unsur negatif seperti tarian dan gelek lucah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Pengurangan harga ini juga adalah kerana penganjur bercadang untuk mengadakan malam ke dua dan sekiranya ia terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain berpeluang menyertai Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur ini.

“Bagaimanapun untuk meneruskan konsert pada malam kedua, masih di peringkat perancangan. Namun kalau berjaya direalisasikan, pastinya penonton akan disajikan persembahan berbeza,” jelasnya.

Selain itu, untuk mempromosikan lagi dan menarik lebih ramai pengunjung konsert, turut dianjurkan beberapa pertandingan melibatkan lima negara iaitu, Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan Thailand.

Antara program yang dilaksanakan adalah pertandingan nyanyian pencarian Raja dan Ratu Dangdut Asia, pertandingan Dance Tanpa Gelek Versatil dan pertandingan One Minutes Challenge.

Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50.