Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Konsert Hari Keenam Coldplay Di Singapura Sold Out Dalam Tempoh 2 Jam

Maliah Surip
21/06/2023 13:55 MYT
Bukan empat, bukan lima, tapi enam hari! Mungkin berita ini membuat ramai yang geleng kepala tapi itulah hakikatnya apabila penganjur konsert Coldplay di Singapura, Live Nation mengumumkan band itu akan mengadakan konsert selama enam hari di republik tersebut.

Coldplay awalnya dijadual mengadakan konsert di Singapura pada 23, 24, 26, dan 27 Januari 2024.

Bagaimanapun selepas melihat lebih 100 ribu tiket terjual dan habis, Live Nation kemudian menambah satu hari pada 30 Januari 2024 menjadi lima hari Coldplay akan menghiburkan peminatnya.

Terkini, penganjur mengumumkan telah menambah sehari lagi iaitu 31 Januari sekaligus menjadikan enam hari Coldplay akan beraksi dalam konsert Coldplay Music of The Spheres World Tour.

Penganjur malah mengumumkan konsert pada hari keenam juga telah habis terjual hanya dalam tempoh dua jam.

“Kesemua tiket konsert Coldplay Music of The Spheres World Tour yang akan diadakan di Singapura selama enam hari sudah habis terjual,” tulis kenyataan yang dikemas kini di akaun media sosial Live Nation.

Coldplay juga diumumkan menjadi band pertama yang akan beraksi selama enam hari di Stadium Nasional Singapura.

“Coldplay akan menjadi band pertama yang tampil selama enam hari di Stadium Nasional Singapura,” dakwa mereka lagi di Twitter.

Band yang cukup popular dengan lagi Fix You itu terlebih dahulu akan mengadakan konsert buat pertama kali di Malaysia pada 22 November tahun ini.
#Coldplay #Konsert Coldplay #Tiket Coldplay
;