HIBURAN

Konsert Istimewa Kotak x Arda Hatna Gegar Zepp KL 21 September Ini

Amri Hassan 03/08/2025 | 11:43 MYT
Selepas lebih dua dekad menempa nama dalam industri muzik Indonesia, kumpulan rock tersohor Kotak bakal meraikan ulang tahun ke-21 mereka dengan sebuah konsert eksklusif bertajuk Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September 2025.

Dengan barisan anggota sedia ada, Tantri Syalindri Ichlasari, Swasti Sabdastantri dan Mario Marcella, Kotak terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama paling berpengaruh dalam muzik rock rantau ini. Sepanjang perjalanan sejak 2004, mereka berjaya mengharungi pelbagai cabaran, termasuk pertukaran anggota dan konflik industri, namun tetap mendapat sokongan padu daripada peminat yang setia digelar Kerabat Kotak.

Konsert ini dianjurkan oleh Boomset Planning dan dibawakan oleh GemaWave, sebuah platform muzik baharu yang meraikan denyut suara Asia Tenggara. Ia bukan sekadar persembahan pentas biasa, tetapi sebuah penghormatan kepada era yang membentuk generasi pencinta muzik.

“Ini bukan sekadar konsert, ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk ramai dari kita. Kami mahu bawa semangat itu kembali hidup dalam suasana intim dan penuh bermakna,” jelas Syira Yusof dari Boomset Planning yang melihat konsert ini sebagai pembuka langkah pertama GemaWave.


Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa adalah kehadiran Arda Hatna sebagai rakan pentas rasmi. Vokalis kumpulan Naff dan juga suami kepada Tantri ini akan berganding bahu dalam sebuah persembahan bersejarah yang bukan sahaja menyatukan dua nama besar muzik, tetapi juga dua insan yang saling memahami dari dalam dan luar pentas.

Arda terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku dan Akhirnya Ku Menemukanmu, di samping karya solonya seperti Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir yang turut mendapat sambutan hangat.

“Dengan kolaborasi Kotak dan Arda Hatna, keraian Road To 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna akan menjadi sebuah momen luar biasa yang tidak akan dilupakan peminat,” tambah Syira lagi.

Bagi Tantri sendiri, konsert ini membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar ulang tahun biasa. Ia menjadi detik peribadi yang sangat bermakna apabila dia akan berkongsi pentas dengan suaminya buat kali pertama dalam suasana yang penuh cinta, kenangan dan penghargaan terhadap peminat.

“Kalian hanya perlu tahu bahawa Kotak dan Arda tidak sabar menjayakan Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September ini. Persembahan ini berbeda dari konsert sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyambut ulangtahun Kotak tetapi ia juga menjadi momen yang sungguh bermakna apabila saya akan digandingkan bersama suami yang tercinta dalam satu pentas yang sama bersama-sama peminat kami dan juga yang tersayang. Ingatan kami kepada kalian tidak pernah ‘Hilang’. Semoga kita saling ‘Selalu Cinta’ dan sampai jumpa di Kuala Lumpur. Long Live Kotak,” kata Tantri penuh emosi.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini telah mula dijual di www.ticket2u.com.my dengan pilihan harga bermula dari RM198 hingga RM3,888 untuk akses kotak eksklusif.
#Konsert #Kotak #Arda Hatna