Hiburan
Konsert The Journey Of Sound Gah, 28,000 Saksi Sejarah Siti Nurhaliza Di Stadium Merdeka
Tanggal keramat 14 Disember menjadi satu lagi sejarah buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila menjayakan Konsert The Journey of Sound hujung minggu lalu.
Di bawah sinar purnama dan gemerlap lampu Menara Merdeka 118 yang memancarkan kilauan warna, ditambah rona putih dan denim yang menjadi tema konsert, Stadium Merdeka berubah menjadi panggung megah.
Riuh tepuk tangan dan sorak-sorai 28,000 penonton terdengar di setiap sudut menyambut hadirnya bintang kesayangan.
Malam yang penuh indah itu menjadi lebih antusiasme apabila Siti dan Judika diarak masuk ke dalam stadium menaiki kereta sport mengelilingi stadium.
Saat lagu Kisah Ku Inginkan dinyanyikan dua sosok hebat itu, sorak-sorai ribuan penggemar tak hentinya bergema mengisi setiap sudut ruang sekali gus menciptakan gelombang energi yang menggema jauh ke cakerawala.
Kilauan cahaya dari lampu wristband turut menciptakan lautan warna yang bergerak serempak.
Judika yang memulakan acara terlebih dahulu dengan suaranya yang berenergi menyalakan riuh tepuk tangan dan teriakan dari penonton.
Antara lagu dipersembahkan Judika adalah Sampai Akhir, Sampai Kau Jadi Milikku, Mama Papa Larang, Aku Yang Tersakiti, Putus Atau Terus, Cinta Karna Cinta dan Jadi Aku Sebentar Saja.
Gelombang tepuk tangan dan sorakan memenuhi udara, menandakan antusiasme penonton yang tak sabar untuk menikmati malam panjang penuh hiburan itu apabila sosok mustika hati, Siti Nurhaliza muncul di atas pentas.
Lagu Siti Situ Sana Sini dan Ku Milikmu membuka pentas dengan penuh energi menjelmakan aura riang Siti Nurhaliza terpancar jelas, hal itu yang membuat semua di ruangan ikut merasakan energi positifnya.
Senyum lebarnya tak pernah pudar, ia menanggapi dengan suara yang mengalir lancar.
Langkah tarian ibu kepada dua cahaya mata itu turut membuat ramai terpesona sekali gus membuktikan kehebatannya demi menghiburkan peminat tersayang.
Konsert yang menampilkan Genervie Kam selaku pengarah muzik itu turut mempersembahkan lagu Bicara Manis Menghiris Kalbu, Diari Hatimu, Pastikan, Seindah Biasa, Bukan Cinta Biasa, Kesilapanku Keegoanmu, dan Sejarah.
Paling menggamatkan apabila Siti menyanyikan lagu popular Judika iaitu Bukan Dia Tapi Aku dengan paduan vokal yang cemerlang sehingga memukau penonton.
Kemeriahan terus dirasai apabila menyaksikan Siti menyanyikan lagu-lagu tradisional seperti Hati Kama, Ya Maulai, Nirmala dan Balqis.
Lebih gah, langit ibu kota diterangi dan diwarnai dengan pertunjukan bunga api berskala besar beberapa minit.
Dalam pada itu, Siti juga sempat memberi bayangan bakal mengadakan konsert solo pada tahun depan.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir yang menyampaikan tiga lagu popularnya.
Antara selebriti yang hadir memberi sokongan adalah Fattah Amin, Nora Danish, Wany Hasrita, Marsha Milan, Hael Husaini, Sophia Liana, Mira Filzah, Adriana Adnan, Sofea Shra dan penyanyi Indonesia, Allan Andersn.
Must-Watch Video