Kumpulan popular dari Indonesia, Armada Band bakal datang ke Kuala Lumpur untuk menjayakan Konsert Armada First Encounter yang dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober 2023 di Zepp KL.

Kata penganjur, Kamalzaini dari SK One Ventures, kehadiran Armada Band ini sekaligus akan mengubat kerinduan peminat mereka di Malaysia.

“Armada Band adalah salah satu band Indonesia yang cukup popular dan ini adalah kali pertama mereka bakal beraksi di Kuala Lumpur selepas konsert sebelum ini terpaksa dibatalkan kerana memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum 2018.

“Mereka akan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka antaranya Asal Kau Bahagia, Harusnya Aku, Penantian dan banyak lagi pada malam penuh bermakna itu.

“Selain itu, lagu-lagu mereka juga turut mencipta fenomena tersendiri di plarform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Justeru, pihak kami memilih untuk menjayakan konsert ini di Kuala Lumpur sekaligus mengubat kerinduan peminat dan penggemar mereka di Malaysia,” katanya.

Armada Band gemuruh

Sementara itu, vokalis Armada Band, Rizal berkata, mereka juga teruja menantikan tanggal 29 Oktober untuk beraksi di pentas Zepp KL.

“Ini bukanlah kali pertama kami hadir ke Malaysia. Namun, kehadiran kami sebelum ini adalah lebih kepada menjayakan rangka promosi untuk lagu dan album. Kali terakhir kami ke Malaysia adalah pada 2018.

“Untuk konsert pertama kami di Malaysia ini, tentunya kami rasa teruja. Pada masa sama, ada juga rasa gemuruh memandangkan, sekarang adalah musim kebanjiran konsert di Malaysia, yang mana sedikit sebanyak memberi tekanan buat kami untuk membuat persembahan.

“Jadi, konsert ini harus berbeza dan memberi impak kepada penonton yang hadir,” katanya.

Kejutan penyanyi jemputan Armada Band

Tambahnya, mereka juga akan mempersembahkan 15 lagu di samping membawa kejutan istimewa buat peminat.

“Di acara konsert ini, kami akan persembahkan 15 lagu dan konsepnya agak pelbagai. Susunan muzik juga akan diberikan sentuhan baharu yang menarik buat peminat.

“Kami akan tampilkan penyanyi jemputan yang akan turut sama menyertai kami kami membuat persembahan. Namun, itu biarlah kami simpan dahulu sebagai kejutan dan akan diumumkan kelak,” katanya.

Selain Rizal, Armada juga turut dianggotai Andit dan Mai.

Projek khas yang dibawakan oleh Hitch Marketing Group dan SK One Ventures Sdn Bhd. itu sudah memulakan jualan tiket yang dijual secara online di www.ticket2u.com.my