HIBURAN
Konsert Pertama Di Kuala Lumpur Selepas 16 Tahun, Dadali Umum Bakal Hasilkan Filem ‘Sebuah Kisah’
Selepas 16 tahun mencipta nama sebagai kumpulan pop galau dari Indonesia, Dadali akhirnya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mementaskan Konsert Dadali – Sebuah Kisah Volume 1 di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Disaksikan lebih 1,600 peminat yang hadir dari seluruh negara, konsert sulung itu bukan sahaja menjadi medan nostalgia buat para peminat, bahkan turut menyaksikan detik istimewa apabila vokalis utama, Dyrga Dadali mengumumkan mereka bakal menghasilkan sebuah filem khas mengenai perjalanan muzik kumpulan itu.
“Lebih istimewa, Dadali juga akan tampil dengan filem mengenai kumpulan ini dengan judul Sebuah Kisah,” katanya di hadapan penonton.
Filem tersebut bakal mengangkat kisah perjuangan mereka dalam dunia muzik sejak awal penubuhan sehingga ke pentas konsert pertama di Malaysia.

Pengumuman itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton yang nyata tidak sabar menantikan naskhah tersebut direalisasikan.
Penuh Emosi, Penuh Galau
Tirai persembahan dibuka tepat jam 9 malam menerusi lagu-lagu berhantu seperti Disaat Sendiri, Cinta Jangan Kau Pergi dan Aku Tlah Berdua, menghangatkan suasana dari awal.

Dyrga turut membawa peminat mengimbas kembali penyertaannya dalam program realiti Gegar Vaganza 11 (GV11) menerusi persembahan lagu Dikir Rambong, sebelum diteruskan dengan deretan lagu-lagu galau yang menjadi identiti Dadali sejak kemunculan mereka seperti Sakit Teramat Sakit, Kasih Sayangilah Aku dan Disaat Patah Hati.
Konsert turut menyaksikan kemunculan Ronnie Hussein sebagai artis undangan istimewa.

Penyanyi bersuara lantang itu menyampaikan Hanya Aku, Harapan serta duet bersama Dadali menerusi Disaat Aku Mencintaimu.
Peminat terus dihiburkan dengan susunan lagu-lagu seperti Cinta Yang Tersakiti, Disaat Aku Tersakiti, Cinta Bersemi Kembali, Disaat Aku Pergi versi beat, dan Mendua Normal.
Mengakhiri konsert berdurasi hampir dua jam itu, Dyrga turut memberi bayangan bahawa konsert itu bukan yang terakhir, sebaliknya membuka ruang untuk kesinambungan pada masa akan datang.
“Kami datang ke sini kali pertama pada 2012 untuk pelancaran album. Tak sangka selepas lebih 10 tahun, Allah beri rezeki untuk kami lakukan konsert di sini.
“Insya-Allah mungkin ada Volume 2 nanti. Doakan juga lepas ni kami ke Jepun pula,” katanya.
Konsert Dadali – Sebuah Kisah Vol 1. dianjurkan Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations dengan sokongan Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026.
Selain Dyrga, barisan anggota lain ialah Boim (gitaris), Dendi ( keyboard), Hendi ( bass), Obot (dram) dan Rickarjd (gitaris melodi)
Must-Watch Video