Pasti bergegar! Jika pada showcase perkenalan pada April lalu Prime Domestic berjaya memenuhkan House @GTower dengan hampir 1000 peminat, Konsert Public Distortion 2017 juga pasti tidak mengecewakan.

Konsert Public Distortion 2017 bakal diadakan di Oasis Square Oasis Damansara, Petaling Jaya pada 9 Disember depan.

Lokasi yang boleh memuatkan 5,000 peminat ini pasti akan bergegar dengan kehadiran Prime Domestic diterajui Joe (gitar) menampilkan Aweera sebagai penyanyi, Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainoll (dram) dan XPDC yang diterajui Izo (gitar) pula menampilkan Ali sebagai penyanyi, Eddie (bass) dan Lola (dram).

Konsert dalam taman tersebut pasti akan dikenang peminat yang hadir kerana, selama tiga jam mereka dijanjikan dengan persembahan terbaik dua kumpulan rock gergasi tanah air itu.

Joe ketika ditemui Astro Gempak berkata selari dengan lokasi dipilih, konsep persembahan mereka nanti seperti dalam taman.



Menariknya, kolam renang akan dikeringkan bagi membolehkan peminat menonton dan menikmati ‘rock garden’.

“Konsert Public Distortion 2017 pasti menjanjikan yang terbaik untuk para peminat kami dan XPDC kerana selain dari muzik dan lagu kami lokasi yang terpilih ini pun sudah berbeza.

“Selain kolam renang yang dikeringkan, ada juga ‘roof top’ yang boleh dijadikan tempat menonton dan anda boleh menonton konsert dengan santai bersama keluarga.

“Sebelum ini tidak ada sesiapa yang pernah terfikir untuk menggunakan venue ini sebagai tempat untuk menganjurkan konsert rock manakala saya pula mahukan kelainan dan menjadikannya sebagai town of rock.



“Saya gembira kerana penerbit J&J Rochestra serta Life Scape bersetuju dan mahu merealisasikannya bersama-sama,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai lagu yang bakal dipersembahkan, Joe memberitahu dia lebih suka merahsiakannya terlebih dahulu.

“Yang pasti lagu-lagu daripada album sulung Prime Domestic pasti ada. Lagu-lagu lain kalau peminat nak tahu mereka kenalah datang,” ujarnya.

Dalam pada itu Joe tidak mahu mengulas panjang mengenai kemungkinan lagu-lagu Wings yang akan dinyanyikan Prime Domestic.

“Peminat Wings tahu siapa penggubah lagu-lagu tersebut dan rasanya tidak ada masalah jika saya mainkan lagu-lagu tersebut.



“Apa-apapun datang sendiri untuk melihat kesempurnaan Konsert Public Distortion 2017 nanti kerana sistem bunyi, pencahayaan pasti ditahap memuaskan,” katanya.

Konsert Public Distortion 2017 menelan kos sebanyak RM500,000.
Harga tiket bermula daripada RM68 dan boleh dibeli di https://www.ilassotickets.com atau Hard Rock Café Kuala Lumpur atau House Restaurant.Bar.Winepost (GTower).