Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Konsert Reunion Dewa 19 Tanpa Ahmad Dhani Mungkin Tak Sama, Tapi...

Kamaruddin Razal 02/02/2019 | 06:14 MYT
Penganjur Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel, Nizra Production mengakui konsert yang bakal berlangsung malam ini tidak sama tanpa kehadiran pengasas kumpulan terbabit, Ahmad Dhani.
Pengarah Urusan Nizra Production, Nik Iruwan berkata, perkara terbabit tidak dapat dielakkan tetapi ahli Dewa 19 yang lain akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik malam ini.
"Dhani memang tiada gantinya. Konsert ini mungkin tak sama tanpa kehadiran Dhani tetapi semua ahli Dewa 19 bersama Ari Lasso, Once Mekel dan pihak penganjur menjanjikan persembahan yang terbaik.
"Semuanya sudah bersiap sedia dan produksi konsert juga telah menyediakan kelengkapan yang berkualiti seperti sistem bunyi, penataan cahaya dan pentas yang baik untuk kepuasan semua peminat Dewa 19," katanya.
Nik Iruwan ditemui ketika sesi latihan Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel di Stadium Melawati, Shah Alam semalam.
Majlis Hakim Mahkamah Negeri Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Dhani.
Menerusi laporan media Indonesia, ketua majlis berkenaan, Ratmoho menjatuhkan hukuman tersebut ekoran tiga entri yang dikongsi Dhani di laman Twitter berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.
Majlis Hakim turut memerintahkan Dhani untuk ditahan dan berdepan dengan hukuman penjara.
#Dewa 19
;