Adalah agak sukar untuk memulakan artikel tentang Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Merdeka World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Kerana satu hal yang perlu diketahui adalah menulis perkataan ‘hebat, mega, luar biasa, tak terkalahkan, ajaib, penghibur sejati —- ia tetap membawa satu maksud yang sama iaitu Sheila Majid adalah seorang penghibur dengan kelebihan dan anugerah terbaik yang pernah ada pada masa kini dalam belantika muzik tempatan.

Sheila Majid umpama magma seni (penulis meminjam label yang diberikan penyanyi dan komposer seberang, Melly Goeslaw buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee), kerana sesungguhnya, itu adalah perkataan yang paling tepat diberikan kepada penghibur sejati ini.

Bayangkan bagaimana tubuh genit, bicara persis mak-mak dan canda-canda spontannya yang serba sederhana membuat seluruh isi dewan tertawa bahagia.

Itu belum lagi bagaimana bintang berusia 58 tahun tersebut menakluk hati peminat dan membuat suasana beku saat mendengar gemersik dan merdu beralun vokalnya melantunkan lagu-lagu yang bukan asing di telinga.

Sheila Majid tidak memerlukan sebarang gimik, pentas extravaganza atau penampilan mencolok mata juga serba berlebihan untuk menyihir peminat memenuhi lebih 3,000 kerusi di dewan pada malam itu.

Beliau hanya memerlukan vokal yang bersih, penghayataan yang membawa semua pulang ke masa silam lewat tembang seperti Pengemis Muda, Embun, Emosi mahupun Ku Mohon bersama permainan berkualiti daripada barisan pemuzik yang digelar Big Band.

Meski kebanyakan lagu menerima sentuhan baharu daripada segi susunan muzik oleh Mac Chew yang sesuai disandingkan bersama Big Band, tak ada peminat yang tidak dapat menerima ‘perubahan’ itu.

Semua gembira berdansa, ikut menyanyi meski sesekali tergelincir kerana susunan muzik yang sudah berubah — namun tidak ada siapapun yang marah-marah apa lagi kecewa.

Sementelah, ia memang sesuai dengan konsep yang mahu dibawa Sheila lewat konsert yang dibawa penuh bangga oleh JioBuddy dengan kerjasama Altus Prohouse dan rakan produksi, Level Up itu.

“Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur direalisasikan atas permintaan peminat selepas melihat industri seni kembali marak dengan banyaknya konsert selepas fasa Covid 19.

“Jadi atas permintaan peminat, konsert ini dilakukan. Cuma, saya tidak mahu sekadar membuat konsert yang sama, misalnya seperti konsert yang Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur pada 2017 lalu.

“Maka memang dengan sengaja konsep bersama Big Band dipilih agar ia memberi perbezaan kepada konsert-konsert sebelum ini kerana ia ‘kedengaran’ lain daripada susunan muzik yang selalu dibawa.

“Sebab dah mati kutu nak buat apa lagi dengan lagu-lagu saya,” ujar Sheila Majid sewaktu ditemui media usai konsert berlangsung.

Jauh dari istilah mati kutu, ironi meski ada lagu-lagu yang dinyanyikan tanpa iringan muzik Big Band dalam skala besar, persembahan Sheila Majid tetap melarutkan peminat.

Buktinya dengan 19 buah lagu telah didendangkan, peminat masih mahukan sang legenda itu kembali ke pentas. Lantas beliau kembali dan ‘belanja’ sedikit lagu tanpa muzik penuh, pun ia sudah sangat mengasyikkan.

Apa lagi saat segmen tribute yang menyaksikan Sheila Majid mendendangkan lagu favoritnya, Jauh-Jauh, Aduh Sayang, Bunyi Gitar dan Tiru Macam Saya disampaikan penuh bersahaja dan penuh energi.

Namun Sheila Majid dan Big Band iaitu seramai 23 pemuzik dengan 13 daripadanya merupakan pemain horns, 7 orang pemuzik band bersama tiga penyanyi latar akhirnya perlu mengakhiri konsert pada malam itu.

Sinaran yang pernah diedarkan dalam edisi Jepun menjadi ‘lagu kebangsaan’ Sheila majid sebagai penutup. Dan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur telah ditutup dengan penuh emosi dan warna.

Semua pulang berdendang gembira, antara puas dan terkesima dengan persembahan tanpa berlebihan tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

Tidak suka bercakap mengenai hal yang belum pasti, namun kata Sheila beliau tidak menolak sekiranya konsep Sheila Majid Big Band ini dilamar masuk ke Singapura atau Indonesia.

Itu juga memberi indikasi, masih jauh perjalanan karier yang baru melewati usia 40 tahun untuk dinokhtahkan sang legenda ini.

Teruskan menghiburkan kami, si pengagum anda oh Sheila Majid kerana seperti yang sering beliau ungkapkan muzik adalah penyatu dan lewat elemen ini juga menyentuh banyak hati dengan melodi mahupun liriknya, jasa anda masih diperlukan — sekurangnya sehingga sebelum anda akan benar-benar mengucapkan salam perpisahan kepada belantika muzik atas asbab yang sangat relevan.